Guna eduweb.tv perkasa kaedah PdPR

Kerajaan disaran menyediakan satu saluran pendidikan percuma di televisyen kerana ia amat membantu dan memudahkan semua pihak. Gambar kecil: Normala Sudirman
Kerajaan disaran menyediakan satu saluran pendidikan percuma di televisyen kerana ia amat membantu dan memudahkan semua pihak. Gambar kecil: Normala Sudirman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kemudahan eduweb.tv perlu digunakan semula secara meluas serta berkesan bagi membantu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sedang dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman berkata, langkah itu dapat membantu serta memperkasa PdPR tetapi perlu dibuat secara sistematik.

"Eduweb.tv merupakan portal video pendidikan terbitan Kementerian Pendidikan wajar diguna secara proaktif dan optimum dalam membantu PdPR yang dilihat sebagai satu solusi terbaik ketika ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Beliau yang juga seorang guru berpendapat, penggunaan eduweb.tv ketika PKP sesuai sebagai wadah pendidikan digital.

Selain penggunaan eduweb.tv ujarnya, Kementerian Pendidikan dan Kabinet perlu membincangkan satu saluran pendidikan di televisyen kerana ia amat membantu dan memudahkan semua pihak.

"Apabila saluran pendidikan diwujudkan percuma di televisyen, semua pihak dapat mengaksesnya kerana semua rumah ada televisyen.

"Ini berbanding setiap ketua keluarga terpaksa membeli telefon pintar, komputer riba atau tablet untuk setiap anak yang bersekolah bagi memastikan kaedah PdPR secara atas talian dapat dilaksanakan," katanya.

Pada masa sama katanya, Pendidik bersetuju dengan langkah pelaksanaan PdPR tetapi perlu ditambah baik termasuk pemberian tempoh percubaan untuk melihat hasil dan keberkesanannya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, langkah penambahbaikan itu perlu kerana masih ramai guru, pelajar dan ibu bapa belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan PdPR disebabkan masalah capaian internet dan peranti.

"Kita setuju tetapi mekanisme dan solusi yang terbaik perlu difikirkan bersama-sama dengan mengambil kira pandangan tokoh akademik dan pihak yang ada autoriti termasuk ibu bapa.

"Kita sedia maklum cabaran yang perlu dihadapi pelajar, warga pendidik dan peranan ibu bapa bagi memastikan kebolehcapaian pelajar dalam pembelajaran dapat dilakukan dalam suasana pembelajaran norma baharu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tukar saluran TV kerajaan kepada TV pendidikan: Pemuda UMNO

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!