Termakan budi amat bahaya

A
A
A

ORANG Melayu kita kaya dengan peribahasa atau pepatah. Ia mencerminkan berapa tajamnya pancaindera orang-orang dahulu kala. Mereka amat prihatin keadaan sekeliling.

Pepatah tentang budi banyak sekali berlingkar dalam kalangan orang Melayu. Perkataan budi amat sensitif. Banyak pesanan yang diberi kepada kita supaya tidak melupakan budi.

Apatah lagi, budi yang baik itu perlu dikenang sampai mati. Orang yang memberi budi hendaklah dikenang sampai bila-bila. Jangan kita lupa budi baiknya. Jika kita lupa atau buat-buat lupa, maka kita akan dikata orang yang tidak mengenang budi.

Contohnya, peribahasa yang menyatakan budi dibawa mati ialah utang emas dapat belayar, utang budi dibawa mati. Maknanya, budi yang baik hendaklah dikenang sampai bila-bila.

Barangkali disebabkan perasaan dihantui oleh budi baik itu juga menyebabkan berlaku gejala rasuah yang berleluasa. Agaknya penerima rasuah tidak dapat melupakan budi baik pemberi rasuah yang kononnya banyak membantu mereka.

Maka, terjadilah perkara termakan budi yang amat bahaya. Ia boleh menyebabkan rosak jiwa jika orang yang memberi budi itu mempunyai niat tidak baik. Masakan kita pun tahu, sedangkan rambut sama hitam, hati lain-lain.

Jika tidak dikenangkan budi mereka itu, maka akan dikatakan kita tidak mengenang jasa pula. Mungkin disebabkan perkara kenang-mengenang itu, ramai orang Melayu susah hati jika tidak dapat membalasnya.

Satu kajian perlu dibuat oleh bijak pandai untuk menyelesaikan masalah orang Melayu yang sentiasa dihantui budi yang ‘baik’ itu.

Artikel Berkaitan:

Kajian itu amat perlu kerana setakat ini kita masih gagal membendung masalah rasuah. Melalui pelbagai pendekatan seperti nasihat agama pun masih gagal.

Isu itu juga telah dibangkitkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang merujuk kepada Laporan Barometer Rasuah Global Asia 2020.

Sebanyak 70 peratus rakyat Malaysia beranggapan rasuah dalam kerajaan adalah masalah besar kepada negara. Ahli politik sahaja mendapat 39 peratus menurut persepsi rakyat yang terlibat dengan isu rasuah.

Penyelesaian

Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, ia bermula di kepala, sebelum kaki dan tangan mengikutnya. Tanpa kepala, tiada mahunya kaki dan tangan hendak menurut langkah.

Namun sehingga kini, kita sebenarnya masih tiada jalan penyelesaian. Apakah puncanya? Adakah disebabkan masalah duit, tamak atau tergila-gilakan kebendaan?

Walau apa pun soalan dan jawapannya, saya lebih cenderung untuk bertanya, adakah disebabkan termakan budi, maka terjadinya najis rasuah ini?

Orang Melayu yang menerima rasuah hatinya lembut, tidak sanggup untuk melupakan budi yang diberi oleh pemberi budi. Mereka takut dikatakan ulat melupakan daun kerana besi baik tiada berkarat.

Yang lebih bahaya lagi, apabila lidah terkalang yang memberi maksud tidak dapat membantah sesuatu permintaan disebabkan telah terhutang budi. Begitulah bahayanya apabila termakan budi.

Itulah seperti disarankan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub supaya rakyat bersatu padu membanteras rasuah dengan membuat laporan jika ada perlakuan rasuah.

Sudah tiba masanya rakyat jelata tidak terikat dengan parti lagi tetapi menjadi satu gelombang kuasa yang akan memastikan wakil-wakil rakyat dan kerajaan menjalankan kerja dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan negara.

Rakyat juga hendaklah tidak lagi taksub kepada sesiapa sahaja. Seperti dikatakan bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samat Kasah: “Rasuah sukar dibendung jika masyarakat masih ‘sayang’ kepada pelaku rasuah.”

Maka, berhati-hatilah kepada mereka yang berniat menerima ‘budi’, bak kata peribahasa Melayu lama, hilang bini boleh dicari, hilang budi badan celaka.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuhraya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!