Rasuah titik mula salah guna kuasa
SHAH ALAM - Isu rasuah tidak harus dilihat sebagai satu perkara mudah kerana rasuah ibarat kemusnahan kepada sesebuah negara yang menghakis dari dalam.
Presiden Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima), Syed Osman Mohamed berkata, rasuah adalah titik permulaan penyalahgunaan kuasa dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat kepimpinan atas.
Beliau berkata, budaya itu secara langsung akan menghakis keupayaan serta integriti sesuatu jabatan atau institusi.
"Jika rasuah dihapus, kami percaya bahawa rakyat secara keseluruhannya akan diberi lebih peluang dalam kerajaan mahupun swasta," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Syed Osman berkata, Gepima sebagai wakil pertubuhan belia berpendapat budaya menentang amalan rasuah seharusnya dipupuk dari awal iaitu melalui pendidikan di peringkat sekolah rendah lagi bagi memberi impak besar kepada masa depan belia negara.
"Ini kerana golongan inilah yang akan membawa integriti baik sebagai pemimpin yang lebih bagus dan memimpin negara kita tanpa gejala rasuah," katanya.
Dalam pada itu, Syed Osman turut menyatakan sokongan di atas inisiatif yang digerakkan Sinar Harian untuk memerangi rasuah melalui Sinar Rasuah Busters.
“Tahniah diucapkan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang memulakan semboyan ini untuk membanteras rasuah di kalangan penjawat awam, masyarakat serta pemimpin.
"Namun usaha ini hanya akan memberi kesan sekiranya rakyat sokong bersama bagi memberi nadi kepada inisiatif ini demi agama, bangsa, belia dan negara yang disayangi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!