MITI semak semula duti anti-lambakan
KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menyemak semula duti anti-lambakan yang dikenakan ke atas import keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk yang berasal dari Vietnam.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, duti anti-lambakan yang telah disemak semula itu akan berkuat kuasa mulai 24 Januari sehingga 23 Mei 2021.
Duti untuk produk yang diimport dari Vietnam kini dalam sekitar 7.42 peratus hingga 33.70 peratus.
Pada 28 Julai 2020, MITI telah memulakan kajian semula pentadbiran berkenaan duti anti-lambakan yang telah dikenakan berdasarkan petisyen oleh Mycron CRC Steel Sdn Bhd yang mewakili industri domestik yang mengeluarkan keluaran serupa.
"Pempetisyen mendakwa bahawa margin lambakan telah berubah secara substantif bagi import dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari Vietnam sejak pengenaan duti anti-lambakan ke atas pengimportan keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk pada 8 Mei, 2019.
"Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994, kerajaan telah memuktamadkan kajian semula pentadbiran dan menentukan bahawa margin lambakan telah berubah bagi import dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari Vietnam," katanya.
MITI berkata, kutipan duti anti-lambakan ini akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!