'Amanah terdesak mahu tutup kelemahan'

Sidang akhbar oleh Ketua Pemuda Pas Melaka, Ahmad Bilal Rahudin (duduk, tiga dari kanan) bagi menyatakan sokongan terhadap Kamarudin di Pejabat Pas Melaka di Semabok di sini.
Sidang akhbar oleh Ketua Pemuda Pas Melaka, Ahmad Bilal Rahudin (duduk, tiga dari kanan) bagi menyatakan sokongan terhadap Kamarudin di Pejabat Pas Melaka di Semabok di sini.
A
A
A

MELAKA - Pas Melaka menyifatkan laporan polis yang dibuat oleh Amanah terhadap Pesuruhjaya Pas negeri, Kamarudin Sidek adalah langkah terdesak parti itu untuk menutup kelemahan mereka dalam mentadbir kerajaan negeri.

Ketua Pemuda Pas negeri, Ahmad Bilal Rahudin berkata laporan itu juga bagi menghalang tindakan pemimpin Amanah yang menjadikan jabatan atau agensi kerajaan untuk kepentingan politik kepartian mereka terbongkar.

Menurut Ahmad Bilal, selaku parti bukan kerajaan, Pas hanya bertindak sebagai hisbah atau semak dan imbang dan jika sikap sebegini diamalkan oleh Amanah ternyata ia bermakna mereka cuba menutup kemungkinan salah laku dan ketidaktelusan integriti.

“Reaksi mereka umpama takutkan bayang-bayang sendiri dan ini sebenarnya menimbulkan syak bahawa Amanah juga menyembunyikan kepincangan dan bimbang hakikatnya daripada diketahui rakyat.

“Malang sekali mereka yang berada di tampuk pemerintahan kerajaan tidak berani untuk terbuka menjelaskan perkara sebenar atau membetulkan keterlanjuran,” katanya dalam sidang media bagi menyatakan sokongan terhadap Kamarudin di Pejabat Pas Melaka di Semabok di sini.

No Image Caption

Rabu lalu, Amanah membuat lima laporan polis terhadap Kamarudin kerana didakwa memfitnah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta kerajaan negeri.

Semua laporan itu dibuat di Balai Polis, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah susulan ceramah oleh Kamarudin pada majlis anjuran Pas dan Umno di Kampung Pulau, Durian Tunggal, Alor Gajah sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Kesemua laporan itu dibuat susulan kenyataan Kamarudin dalam satu ceramah berhubung isu pelantikan jawatankuasa masjid dan isu tabung masjid.

Mengulas lanjut, Ahmad Bilal berkata, jika perkara yang dinyatakan Kamarudin adalah dakwaan, tuduhan atau fitnah, mengapa pihak yang sedang berkuasa takut untuk turun bertemu rakyat dan menyelesaikan isu berbangkit.

“Biar pun pihak kerajaan negeri cuba menafikan, rakyat yang mengalami sendiri perkara tersebut di peringkat akar umbi negeri sedang merasainya.

“Amalan atau rutin di masjid atau kariah penduduk yang sekian lama ini sedang diusik oleh tangan-tangan politik. Jangan bodohkan rakyat pada era politik terbuka kini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!