PKP 2.0: Ahli Parlimen Pembangkang tuntut dua perkara daripada kerajaan

Dari kiri: Darell Leiking, Syed Saddiq, Kulasegaran dan Salahuddin
Dari kiri: Darell Leiking, Syed Saddiq, Kulasegaran dan Salahuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 25 ahli Parlimen pembangkang menuntut kerajaan segera melaksanakan moratorium pinjaman secara automatik sekurang kurangnya enam bulan dan meningkatkan kadar subsidi upah lebih tinggi untuk tempoh sama.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan pada Sabtu, mereka meluahkan kekecewaan kerana Malaysia belum lagi menyaksikan penurunan jumlah kes Covid-19 walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilanjutkan.

"Keyakinan para pelabur tempatan mahupun antarabangsa berada pada tahap terendah dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) diumumkan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pada 18 Januari baru-baru ini hanyalah bersifat kosmetik dan tidak memadai berbanding kesan daripada PKP 2.0 dan darurat," kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama 25 ahli Parlimen pembangkang itu antaranya melibatkan M Kulasegaran (Ipoh Barat), Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar), Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai), Hannah Yeoh (Segambut) dan Datuk Darell Leiking (Penampang).

Dalam pada itu, mereka turut menyentuh isu pengangguran yang meningkat dengan mendadak.

Menurut mereka, sekiranya tidak ada tindakan lebih agresif, lebih banyak industri perusahaan kecil sederhana (PKS) yang bakal mengalami kerugian dan akan mengakibatkan kehilangan lebih banyak pekerjaan.

"Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, kami menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan moratorium pinjaman secara automatik untuk tempoh enam bulan seperti yang dilakukan semasa PKP 1.0.

"Ini akan menghilangkan keresahan dan birokrasi dengan segera. Industri PKS atau mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran pinjaman mereka seperti biasa," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Mereka turut menyifatkan tempoh enam bulan moratorium pinjaman secara automatik itu akan meningkatkan aliran tunai kepada sektor ekonomi malah merancakkan aktivitinya.

"Dengan cara ini individu dan PKS akan mempunyai lebihan tunai yang dapat membantu meningkatkan pendapatan semua jenis perniagaan, seterusnya akan menggalakkan mereka mengekalkan atau mungkin menambah lebih ramai pekerja (bukannya membuang pekerja) sepanjang menghadapi pandemik ini," kata mereka.

Selain itu, mereka menuntut kerajaan meningkatkan kadar subsidi upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM600 setiap pekerja kepada jumlah yang lebih tinggi (kepada yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,000) dan melanjutkannya untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

"Jumlah subsidi RM600 sebulan yang diberikan sekarang tidak memadai dalam menghadapi PKP 2.0 dan darurat yang telah menunjukkan kesannya ke atas beberapa sektor.

"Subsidi upah selama tempoh enam bulan akan menggalakkan para majikan untuk tidak membuang pekerja dan membantu mereka bertahan sehingga separuh tahun akibat penyusutan jualan dan aliran tunai. Bagi sesetengah yang lain, ini juga mungkin mendorong mereka untuk mengambil pekerja semula," kata mereka lagi dalam kenyataan bersama itu.

Kata kenyataan itu lagi, ini adalah masa yang luar biasa maka kerajaan harus mengambil langkah yang luar biasa juga untuk menyelamatkan sektor pekerjaan.

Menurut mereka, peningkatan jumlah pengangguran bakal merugikan negara sehingga tidak ada lagi pakej rangsangan yang mungkin dapat membantu pada masa depan.

"Kerajaan Perikatan Nasional sebenarnya telah tewas kepada negara jiran ASEAN kita dalam daya saing mereka untuk menarik pelabur asing akibat kelemahan, ketidakcekapan dan ketidakstabilan politik.

"Kekal dengan sindrom penafian dan kedegilan untuk mengubah sesuatu yang lebih berkesan untuk sektor perniagaan hanyalah paku keranda terakhir untuk ekonomi kita yang parah dan berdarah," kata mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!