Kes meningkat, fasiliti Kelantan mampu bertahan 4 hingga 8 minggu

Datuk Dr Zaini Husin
Datuk Dr Zaini Husin
A
A
A

KOTA BHARU - Fasiliti dan kemudahan yang disediakan untuk pesakit Covid-19 di Kelantan hanya mampu bertahan sehingga empat hingga lapan minggu akan datang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin berkata, kadar ketetapan mingguan tersebut adalah berdasarkan kepada trend semasa jumlah jangkitan Covid-19 di Kelantan dan peratusan kebolehjangkitan iaitu sebanyak 1.26 peratus.

Menurutnya, berikutan kes yang meningkat hampir setiap hari, pihaknya kini sedang giat mengenalpasti lokasi-lokasi yang sesuai untuk pertambahan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini.

"Buat masa ini untuk pesakit kategori satu dan dua yang tidak berisiko kita benarkan kuarantin di rumah, manakala yang selebihnya kita kuarantin di hospital bagi memastikan fasiliti kita cukup untuk menangani kes-kes yang berkaitan.

"Oleh sebab itu juga kita wujudkan PKRC ini. Kita juga telah mengenalpasti dewan yang ada dan beberapa tempat yang dirasakan sesuai jika kita perlu menambah PKRC.

"Dengan fasiliti yang ada kini, kita mampu bertahan untuk tempoh empat sehingga lapan minggu. Inilah masanya untuk kita mendisiplinkan diri patuh pada prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan kita berjaya sekali lagi lawan Covid-19," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, beliau hadir pada Program Tautan Kasih PKRC Kelantan Musaah Covid-19 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Sukarelawan Yadim Kelantan, Gabungan NGO Hadapan Kelantan (Gohek) dan Misi Kembara Dakwah (MKD) di PKRC Pusat Tarbiah Islamiah Negeri di sini.

Mengulas lanjut, ketika ditanya mengenai tahap stres yang dialami petugas kesihatan di negeri ini, Zaini berkata, isu stres tetap ada di mana-mana tempat kerja, namun ia masih terkawal tambahan pula dengan bantuan kaunseling yang sentiasa memantau dari segi psikologi kakitangan yang bertugas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jumlah kakitangan yang bertugas kini mencukupi berdasarkan keperluan semasa pesakit di PKRC dan juga hospital.

"Alhamdulillah kakitangan kita masih mencukupi dan boleh juga bantu daerah lain mahupun negeri lain. Jika ada keperluan di sini, kita akan panggil balik mereka yang berada di luar. Buat masa sekarang ini semuanya masih terkawal," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!