Pengusaha salon, gunting rambut rayu dibenarkan operasi
SEREMBAN - Pengusaha salon dan gunting rambut di Negeri Sembilan merayu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar memberi kelonggaran kepada mereka untuk beroperasi seperti perkhidmatan perniagaan lain.
Wakilnya, Andy, 30, berkata perkhidmatan gunting rambut ini merupakan satu keperluan dan diharap dapat pertimbangan.
Menurutnya, pihaknya menyokong usaha kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19, namun kepentingan rakyat juga harus diambil kira.
"Semasa perlaksanaan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) dulu, kita menjalankan perniagaan mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ketat, malah setiap langkah keselamatan pekerja dan pelanggan dijaga sempurna. Sehingga kini tiada lagi kluster disebabkan perniagaan salon atau gunting rambut.
"Kita sangat berharap MKN dapat beri kelonggaran dan pertimbangkan untuk benarkan kami beroperasi mengikut SOP yang ketat," katanya.
Katanya, beliau yang mempunyai enam pekerja terpaksa menanggung kerugian lebih RM15,000 hanya untuk bayaran gaji pekerja sahaja tidak termasuk bayaran sewa kedai dan lain-lain utiliti.
Dalam pada itu, pengusaha salon, Christine, 27, berkata, beliau turut mengalami kerugian hampir RM20,000 jika tidak menjalankan perniagaan dalam tempoh PKP ini.
Menurutnya, setiap pekerja akan diberi gaji sama seperti sebelum perlaksanaan PKP, hanya duit sahaja yang keluar tetapi tiada keuntungan yang masuk.
"Kita tahu tujuan PKP ini untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19, tetapi dalam masa yang sama kita tertekan dengan halangan yang dikenakan kepada pengusaha seperti kami.
"Kami merayu kepada kerajaan agar membenarkan kami menjalankan semula perniagaan ini dengan mematuhi SOP yang ditetapkan, sama sewaktu PKPP dilaksanakan sebelum ini.
"Walaupun kedai tutup, tetapi kami terpaksa bayar semua gaji pekerja seperti biasa, sewa kedai dan lain-lain bayaran yang mana itu semua akan memberi kesan kepada kami," katanya.
Beliau berkata, jika mereka menjalankan perniagaan sehari keuntungan bole dapat antara RM300 hingga RM1,000 dan itu sangat membantu mereka membayar semua hutang termasuk bayar gaji pekerja.
Sementara itu, Biro Kempen Masyarakat Sivil MCA Nasional, Ng Kian Nam berkata, pihaknya memohon kepada kerajaan Pusat dan negeri agar dapat menyediakan pakej bantuan secara 'one-off' kepada semua pengusaha salon dan gunting rambut yang terkesan akibat PKP ini.
Katanya, pihaknya bimbang jika dibiarkan berterusan seperti ini, kemungkinan ada di antara mereka tidak dapat bertahan dan akibatnya mereka akan gulung tikar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!