Rokok tanpa cukai lebih RM1 juta dirampas

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama polis kontinjen Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyeludpan rokok.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama polis kontinjen Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyeludpan rokok.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis merampas 1.42 juta batang rokok tanpa cukai bernilai lebih RM1 juta dalam operasi khas membabitkan beberapa serbuan di sekitar bandar ini, pada 21 Januari lalu.

Rampasan itu dibuat ke atas sindiket mengedar dan menjual rokok seludup dipercayai bergerak aktif di Pulau Pinang selepas risikan dijalankan.

Operasi tersebut melibatkan anggota Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama polis kontinjen Pulau Pinang.

Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar berkata, operasi yang bermula jam 3 petang itu membabitkan beberapa serbuan di lima lokasi berbeza.

Menurutnya, serbuan dibuat di kawasan perumahan termasuk kondominium mewah serta kawasan parkir di sekitar Georgetown.

Beliau berkata, polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 31 hingga 40 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.

"Dalam kesemua serbuan itu, kita berjaya merampas 142 kotak yang mengandungi 7,100 karton rokok seludup. Ketika pemeriksaan di kelima-lima lokasi serbuan, kesemua rokok tersebut disembunyikan dalam lapan buah kenderaan termasuk lori.

"Kesemua rokok yang dirampas itu bernilai lebih RM1 juta dan ia untuk pasaran di sekitar negeri ini selain turut dijual di negeri wilayah utara," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM983,093.98 daripada tiga suspek dipercayai hasil kegiatan penyeludupan rokok oleh sindiket terbabit.

"Kita juga merampas lapan buah kenderaan iaitu empat buah Toyota Avanza, dua buah van jenama Nissan Vanette, sebuah van Hiece serta sebuah lori. Kesemua kenderaan itu bernilai RM214,000. Nilai keseluruhan rampasan termasuk wang tunai berjumlah RM2.3 juta.

"Kita masih mengesan beberapa lagi ahli sindiket tersebut dipercayai masih berada di sekitar negeri ini. Selain itu, kesemua rokok itu dipercayai diseludup dari beberapa buah negara namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang larangan import (rokok).

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai atau RM100,000 sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai atau RM500,000, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!