Mesej tular Tun M dirawat di hospital tidak benar

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Mesej yang tersebar di media sosial mengenai keadaan kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan tidak sihat dan mengalami kesukaran bernafas adalah palsu, kata pembantu bekas Perdana Menteri, Adam Mukhriz Muhayeddin.

Menurut Adam, Dr Mahathir kini berada dalam keadaan yang sihat dan tidak dimasukkan ke hospital.

"Dr Mahathir masih sihat walafiat dan berada di rumah hari ini (Sabtu). Alhamdulillah," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Sabtu.

Berita mengenai kesihatan Ahli Parlimen Langkawi itu tersebar sehari selepas Dr Mahathir memaklumkan di blognya bahawa seorang ahli keluarganya dijangkiti Covid-19 dan kemudian menjangkiti beberapa yang lain ketika menjalani kuarantin di rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Banyak cara boleh kurangkan jangkitan Covid-19: Tun M

Menurut Dr Mahathir, pesakit tersebut diarahkan untuk kuarantin di rumah memandangkan keadaannya tidak teruk sebelum dimasukkan ke hospital setelah mengalami kesukaran bernafas.

Beliau kemudian menasihatkan kerajaan agar menimbang semula ketetapan kuarantin di rumah bagi pesakit Covid-19 yang berisiko rendah.

Ketika ini, berdasarkan protokol yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hanya pesakit Covid-19 dalam kategori satu (tiada gejala) dan kategori dua (gejala ringan) yang dibenarkan untuk kuarantin di rumah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!