Jangan tipu pihak berkuasa guna surat kebenaran lama

Ahmad Shukri (kanan) memeriksa surat kebenaran merentas daerah seorang pengguna feri di Terminal Feri Kuala Kedah pada Sabtu.
Ahmad Shukri (kanan) memeriksa surat kebenaran merentas daerah seorang pengguna feri di Terminal Feri Kuala Kedah pada Sabtu.
A
A
A

KUALA KEDAH - Polis memberi amaran kepada individu yang menggunakan surat kebenaran lama bagi mengaburi pihak berkuasa untuk merentas daerah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, sekiranya pihak berkuasa berjaya mengesan individu yang berbuat demikian, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya masih belum menerima kes sedemikian.

"Kami menasihatkan mereka yang mahu merentas daerah supaya mengemukakan surat kebenaran. Saya ingatkan agar jangan ada yang menggunakan kembali surat lama untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan," katanya pada sidang media selepas pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di Terminal Feri Kuala Kedah di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ahmad Shukri berkata, sebanyak lapan individu di daerah Kota Setar dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 pada Jumaat dan Sabtu kerana melanggar SOP ditetapkan.

Anggota polis dan tentera memantau SOP pengguna feri di Terminal Feri Kuala Kedah yang berlepas ke Langkawi pada Sabtu.
Anggota polis dan tentera memantau SOP pengguna feri di Terminal Feri Kuala Kedah yang berlepas ke Langkawi pada Sabtu.

Daripada jumlah tersebut, katanya, empat individu dikompaun kerana gagal menunjukkan surat kebenaran rentas daerah ketika diperiksa oleh pasukan pemantau SOP di Jalan Gunung Keriang di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Semua kes merentas daerah ini adalah berasingan. Kita tahan di Jalan Gunung Keriang, sempadan Kubang Pasu-Alor Setar. Dua individu menaiki sebuah kereta dan dua lagi menaiki dua buah motosikal," katanya.

Beliau berkata, empat lagi individu dikompaun di sekitar daerah ini kerana tidak memakai pelitup muka walaupun menyedari kehadiran anggota pasukan pemantau SOP yang beruniform.

Menurutnya, sebanyak 36 kenderaan yang cuba memasuki daerah Kota Setar juga diarahkan berpatah balik pada Jumaat, manakala 32 kenderaan lagi diarahkan berpatah balik pada Sabtu kerana tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk merentas daerah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!