Darurat tidak jejas kehakiman

A
A
A

DALAM keadaan darurat kebangsaan seperti sekarang, banyak aspek kebebasan awam (civil liberty) tersekat dan kerajaan mempunyai kuasa yang lebih luas untuk bertindak.

Namun, kita mesti sentiasa ingat bahawa perisytiharan darurat kali ini bukanlah kerana ancaman terhadap keselamatan tetapi bagi mengawal wabak penyakit. Kita sedang menghadapi masalah kesihatan yang teruk akibat Covid-19.

Walaupun ia adalah darurat kesihatan, namun aspek kebebasan sivil tetap terjejas. Paling ketara adalah penggantungan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mencadangkan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong, penggantungan Parlimen adalah baik bagi mereka.

Tanpa Parlimen, apa juga tindakan yang menjejaskan kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh dilakukan. Dengan itu, selamatlah beliau dan kerajaannya. Pada masa yang sama, tanpa Parlimen dan DUN, tidak ada undang-undang baharu boleh dibuat dan kita kehilangan salah satu daripada mekanisme semak dan imbang.

Peranan semak-imbang rasmi yang masih beroperasi adalah kehakiman dan secara tidak rasmi juga media massa, sama ada media arus perdana atau media sosial. Oleh sebab itulah, pengumuman Ketua Hakim Negara,Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 20 Januari lalu bahawa kes-kes kepentingan awam seperti rasuah dan kes-kes yang dimohon oleh pihak-pihak untuk didengar berasaskan sebab khas dan keadaan luar biasa, adalah amat penting.

Implikasi

Mungkin tidak ramai sedar implikasi arahan Tengku Maimun supaya mahkamah mendengar permohonan yang berasaskan sebab-sebab khas dan keadaan-keadaan luar biasa (special reasons and exceptional circumstances).

Artikel Berkaitan:

Ia amat penting kerana terdapat persoalan atau pertikaian mengenai perisytiharan darurat walaupun ia bukanlah kes jenayah tetapi sivil. Adalah amat kritikal bagi mahkamah untuk turut memberi ruang kepada permohonan sivil yang mempunyai unsur kepentingan nasional. Ia adalah lebih baik daripada membiarkan persoalan dan pertikaian mengenai perisytiharan darurat menjadi bernanah dan busuk.

Mengenai kes kepentingan awam pula, kita semua sudah tahu ramai orang telah muak dengan gelagat watak yang terlibat dalam kes-kes rasuah profil tinggi sedang dibicarakan sehingga mengancam keyakinan terhadap kehakiman.

Arahan Tengku Maimun supaya kes itu diteruskan walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sangatlah dialu-alukan.

Natijahnya, walaupun kerajaan telah mengumumkan lanjutan tempoh PKP, kita amat berharap arahan Tengku Maimun supaya mahkamah menyambung persidangan mulai 27 Januari dilaksanakan.

Arahan itu bagi memastikan sistem keadilan jenayah tidak akan terbantut sepanjang tempoh PKP, sekali gus memberi keyakinan bahawa darurat tidak menjejaskan kebebasan kehakiman dan dengan itu menghilangkan kegusaran bahawa darurat serta PKP akan melambatkan penyudahan kes-kes profil tinggi.

Apatah lagi, apabila ada orang yang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman denda serta penjara masih berkeliaran dan bebas membuat kenyataan mengenai kepentingan awam. Di pihak lain pula, mereka melihat rakyat biasa yang melakukan kesalahan kecil kerana kemiskinan dan kebuluran seperti mencuri makanan atau melanggar PKP dihukum denda serta disumbat ke dalam penjara dengan begitu pantas sekali.

Dalam kita mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Tengku Maimun khususnya dan kehakiman amnya, kita amat berharap masalah penghukuman yang tidak sama rata itu diatasi sekali gus dan untuk selamanya.

Kesimpulannya, mungkin tidak keterlaluan kita sifatkan bahawa kehakiman yang bebas sebagai talian hayat kepada negara dan setiap individu di dalamnya ketika pelaksanaan perintah darurat. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!