Legasi besar Donald Trump
BEKAS Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akhirnya mengikut teladan pemegang-pemegang jawatan itu sebelum ini yang menyerahkan kuasa kepada pengganti masing-masing tanpa sebarang insiden tidak diingini seperti rusuhan.
Majlis angkat sumpah bekas Naib Presiden AS, Joe Biden, 78, daripada parti Demokrat sebagai Presiden Amerika yang ke-46 pada Rabu lalu berlangsung dengan kawalan ketat keselamatan tetapi lancar dan aman di tangga bangunan Capitol, Washington.
Trump, 74, daripada parti Republikan tidak hadir pada majlis itu. Lima Presiden terdahulu juga pernah berbuat demikian.
Beliau juga tidak mengucapkan tahniah kepada Biden kerana menang dalam Pilihan Raya Presiden AS.
Orang ramai dilarang hadir bagi menyaksikan majlis tersebut berikutan penularan pandemik Covid-19 tidak seperti pada tahun 2016 apabila Trump mengangkat sumpah jawatan Presiden AS pada bulan Januari 2017 bagi menggantikan Presiden AS ke-44, Barack Obama.
Kawalan keselamatan ketat keselamatan dilakukan selepas para penyokong Trump merusuh di bangunan Capitol yang menempatkan Dewan Perwakilan dan Dewan Senat yang juga dikenali sebagai Kongres AS pada 6 Januari lalu.
Dalam kejadian yang dianggap memalukan AS sebagai pengamal sistem demokrasi itu, lima orang terbunuh termasuk anggota polis dan sejumlah lagi cedera manakala Trump dituduh menghasut kejadian tersebut apabila beliau berulang kali mendakwa berlaku penipuan undi sehingga menyebabkannya kalah dalam Pilihan Raya Presiden pada 3 November tahun lalu.
Kejadian itu adalah legasi buruk yang ditinggalkan Trump apabila ribuan penyokongnya melakukan rusuhan buat kali pertama dalam sejarah negara tersebut di bangunan berkenaan sebagai cara untuk menghalang Kongres AS daripada mengisytiharkan Biden sebagai Presiden setelah memenangi pemilihan Presiden Amerika.
Berikutan itu, Dewan Senat dijangka mendengar pendengaran tentang dakwaan bahawa bekas Presiden tersebut mencetuskan rusuhan pada 8 Februari depan di hadapan Ketua Hakim negara AS sebelum undian bagi menentukan sama ada beliau bersalah dilakukan oleh anggota-anggota dewan tersebut.
Pemilik Facebook, Instagram dan Twitter juga bertindak menutup akaun Trump selepas rusuhan itu berlaku kerana bimbang beliau akan menghasut lagi para penyokongnya melakukan rusuhan iaitu pada hari-hari terakhir beliau menjadi Presiden.
Pada tahun 2019, anggota-anggota Dewan Senat mengundi membebaskannya daripada dakwaan beliau melakukan penyalahgunaan kuasa dan tidak menghormati Kongres AS apabila membekukan kelulusan bantuan ketenteraan hampir AS$400 juta (RM1.6 bilion) kepada Ukraine.
Pendakwaan itu dilakukan setelah Trump dituduh menekan negara itu bagi membantu mencalarkan imej Biden apabila meminta Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenky menyiasat perniagaan anak Biden, Hunter dalam sebuah syarikat gas asli di negara itu ketika bapanya menjadi Naib Presiden AS.
Ini adalah kerana mantan Presiden AS itu menuduh Biden menggunakan cara tidak betul untuk membantu perniagaan anaknya di Ukraine tetapi dakwaan tersebut dinafikan Biden.
Menurut portal berita Vox pula, sejak penubuhan AS, negara itu ditadbir oleh Presiden yang mempunyai pengalaman menduduki pejabat kerajaan atau berkhidmat dengan tentera atau kedua-duanya sekali tetapi Trump menjadi Presiden AS tanpa mempunyai pengalaman tersebut.
Bilionair dan taikun hartanah itu juga meninggalkan Rumah Putih ketika AS mengalami kadar pengangguran tinggi apabila kajian data yang dilakukan dari 27 Mac hingga 31 Mac 2020 oleh syarikat perunding pengurusan, Gallup menganggarkan 46 juta penduduk negara tersebut menganggur akibat Covid-19.
Lebih 400,000 penduduk di AS mati akibat Covid-19 dan ia merupakan jumlah kematian paling ramai di dunia tetapi Trump pernah memuji pentadbirannya kerana berjaya menemui vaksin Covid- 19 dalam tempoh yang segera selepas pandemik itu ditemui buat pertama kali di Wuhan, China lewat tahun 2019.
Bagaimanapun, warisan terbesar Trump ialah Presiden pertama AS tidak memulakan peperangan di dunia sejak Presiden AS ke-40, Ronald Reagan.
Reagan daripada parti Republikan memerintah pada tahun 1981 hingga 1989 mendapat kelulusan Kongres AS untuk menghantar tentera ke Lubnan bagi mengurangkan ancaman Perang Saudara di negara itu.
Trump dianggap mempunyai persamaan dengan Presiden ke-39, Jimmy Carter daripada parti Demokrat yang telah dikalahkan oleh Reagan untuk merebut jawatan Presiden kerana tidak pernah melancarkan perang.
Namun, pada era pemerintahannya, empat buah negara Liga Arab iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi menormalkan hubungan dengan Israel.
Desas-desus yang mendakwa beliau mahu menyerang Iran berhubung isu nuklear juga tidak berlaku walaupun pada tahun 2018 Trump menarik AS daripada perjanjian nuklear antara sekumpulan negara kuasa besar dengan Teheran yang ditandatanganinya pada tahun 2015.
Trump juga mencetuskan perang perdagangan dengan China dan menyekat beberapa aplikasi dari negara berkenaan atas dakwaan boleh menjejaskan keselamatan AS dan pelaksanaan tarif import ke atas barangan-barangan dari China.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!