Sindiket seludup Pati tumpas
PORT DICKSON - Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) dengan tertangkapnya 11 tekong darat termasuk sepasang suami isteri dalam Op Pintas yang dilakukan pada 19 Januari hingga Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, operasi berasingan itu diadakan bersama Pasukan Polis Marim(PPM) Wilayah 2 dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM) Putrajaya.
"Tekong warga tempatan dan asing itu ditahan bersama 47 Pati. Kita tak menolak kemungkinan suspek dari sindiket yang sama.
“Dalam operasi pertama pada 19 Januari jam 1.45 tengah hari, seramai 20 warga Indonesia termasuk lima wanita ditahan di sebuah hotel di Batu 8 kerana disyaki masuk ke negara ini menggunakan jalan tidak sah.
“Operasi kedua pula pada 26 Januari, jam 5.27 petang telah menahan 10 lelaki Bangladesh, dua lelaki Indonesia dan empat lelaki tempatan disyaki tekong darat di tepi pantai Batu 3, Teluk Kemang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini, semalam.
Menurutnya, dalam operasi ketiga pada 30 Januari di tepi pantai Batu 9 Teluk Kemang, seramai empat Indonesia dan pasangan suami isteri dipercayai tekong telah ditahan pada jam 5.45 petang.
Beliau berkata, operasi pada Khamis lalu pula telah membawa kepada penahanan 15 Indonesia dan dua tekong di tepi pantai Batu 4 Teluk Kemang, pada jam 11.30 malam.
"Siasatan awal mendapati, warga asing itu mendakwa mereka dikenakan bayaran antara RM700 ke RM2,000 untuk dibawa masuk dan keluar dari negara ini oleh sindiket terbabit.
"Sembilan kenderaan yang digunakan suspek untuk kegiatan itu turut dirampas," katanya.
Aidi Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migrain ( ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!