Main badminton di tengah pusat beli-belah terkemuka

No Image Caption
A
A
A

APA yang bermain di kotak fikiran kita apabila melihat dua orang gadis yang mengendalikan satu lot kedai di sebuah pusat membeli-belah terkemuka negara bersantai dan bermain badminton di galeri laluan awam depan kedai berkenaan.

Hakikat bahawa mereka boleh bermain badminton menggambarkan betapa pusat membeli-belah itu kosong tanpa pengunjung walau seorang pun.

Ia adalah refleksi betapa teruknya situasi ekonomi negara akibat Covid-19. Tiada siapa yang membeli-belah. Yang ada cuma pekerja dan kedai yang dipaksa buka oleh pengurusan mall bagi menjustifikasikan tuntutan sewa walaupun separuh.

Sementara itu, di Pasar Seni di mana ia adalah destinasi kunjungan wajib bagi mana-mana pelancong yang ke negara ini, lagi sengsara. Ada seorang pengusaha barangan kraftangan yang telah berniaga di situ sejak 35 tahun yang lalu mengeluh yang pendapatannya sehari adakala hanya RM40.

Bukan sahaja nak bayar sewa kedai RM10,000 sebulan tak lepas, nak bayar gaji pekerja pun tercungap-cungap.

Dia telah mengeluarkan semua simpanan peribadinya termasuklah simpanan ASB untuk terus bertahan. Katanya jika lagi tiga bulan keadaan tidak berubah dia sudah hilang akal mahu buat apa.

*Belalang - Hanya mampu melihat dan bersimpati

Si tukang gunting

PADA mulanya Belalang macam kurang percaya apa yang Belalang dengar. Kawan Belalang cakap, “Kau perlu pergi dengar sendiri untuk mempercayainya.” Sebagai pemerhati dan pencatat massa, Belalang setuju.

Artikel Berkaitan:

Belalang pun terbang dari padang tempat Belalang bermain menuju ke pekan untuk memulakan siasatan.

Selepas menghabiskan masa selama beberapa jam memerhati, akhirnya Belalang membuat kesimpulan - ya memang benar apa yang kawan Belalang cakap. Si tukang gunting itu adalah pusat maklumat.

Namanya Maniam. Lee Maniam. Dia satu-satunya tukang gunting rambut di pekan itu. Bapanya berketurunan India. Ibunya pula Cina. Jadi namanya Lee Maniam. Misainya tebal macam hero dalam filem Tamil. Tapi oleh kerana ibunya keturunan Cina, kulitnya macam kulit orang Melayu.

Apatah lagi dia fasih berbahasa Melayu. Bahasa Tamil dan Hokkien tak usah cakaplah. Itu bahasa ibundanya. “Eh! Kau ni Melayu ke?” Itulah pertanyaan yang selalu dia terima setiap kali ada orang baru yang datang gunting rambut. Lee Maniam sekadar tersengih menampakkan giginya yang putih menyerlah.

Siapa yang bertandang ke kedai gunting Lee Maniam akan bercerita kepadanya tentang apa saja. Manakan tidak. Sebaik sahaja mereka duduk di atas kerusi untuk gunting rambut, soalan pertama yang Lee Maniam tanya ialah, “Dei...apa cerita?”

Jadi kalau siapa nak tahu apa cerita terbaru di pekan, tanya Lee Maniam. Dia tahu semua benda dan segala apa yang berlaku. Pendek cerita, tanyalah apa saja, semua Lee Maniam tahu, termasuklah maklumat terbaru. Perkara yang orang lain belum tahu, Lee Maniam tahu dulu.

Siapa nak kahwin, siapa sedang main cinta, siapa bercerai, siapa kena saman, siapa jatuh motosikal tersungkur dalam parit, siapa mati, siapa baru naik pangkat, siapa kena turun pangkat, siapa kena pecat, siapa kena tukar kerja, siapa VIP nak datang, siapa akan bertanding lawan siapa - semua Lee Maniam tahu.

Dan oleh kerana dia tahu segala-galanya, dari semasa ke semasa dia akan dikunjungi oleh seseorang yang jika datang bukan untuk menggunting rambut tapi untuk memperolehi maklumat. Orang itu ialah Mat Jinin, si abang SB (Special Branch).

*Belalang - Sekadar tukang catat!

No Image Caption

Apabila ahli majlis buat benda tak betul...

Ni bukan Belalang nak cakap buruk pasal seorang ahli majlis sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berstatus bandar raya di padang Belalang singgah untuk bermalam. Ini adalah kejadian benar yang Belalang saksikan dengan mata dan kepala Belalang sendiri.

Ia adalah insiden yang berlaku beberapa hari lalu. Belalang patutnya dah pejam mata waktu itu (walaupun mata Belalang secara semulajadi tidak ada kelopak untuk dipejam). Maklum sajalah dah malam.

Tapi di sebalik kegelapan malam itu, tiba-tiba Belalang perhatikan sekumpulan manusia sedang mengendap sebuah rumah lot korner yang laman tepinya diterangi dengan lampu limpah macam lampu stadium bola. Mereka seperti sedang memerhatikan sesuatu.

Belalang nak tanya, Belalang takut mereka terkejut. Jadi Belalang sekadar menjadi pemerhati dari jauh. Selepas seketika, akhirnya bukan mereka yang terkejut sebaliknya Belalang yang terkejut. Bak kata orang, terkejut beruk. Mereka sedang mengendap sebuah rumah yang kemudiannya Belalang dapat tahu adalah rumah yang didiami ahli majlis bandar raya berkenaan.

Apa yang sedang mereka lakukan? Mereka mahu membuat rakaman video rupanya. Tapi untuk apa? Belalang pun terbang lebih dekat ke arah mereka. Belalang hinggap betul-betul di atas daun yang paling hampir dengan seorang daripada mereka yang sedang merakamkan video berkenaan. Maka dalam diam-diam Belalang pun berpeluang mendengar bisikan perbualan mereka.

Dari situlah Belalang dapat tahu yang mereka adalah para penduduk taman berkenaan yang dalam misi untuk mengumpul bahan bukti tentang perbuatan ahli majlis itu menggunakan bekalan elektrik awam untuk menerangi laman rumahnya. Aduh! Keji betul tindak-tanduk ahli majlis itu. Dia menyalahgunakan kemudahan awam untuk memperolehi bekalan letrik percuma untuk dirinya sendiri.

Yang lebih bobrok, dia sendiri adalah penjawat awam yang sepatutnya melindungi harta awam bukan menyalahgunakannya.

Hasil daripada rakaman tersebut, Belalang sempat ‘mencuri’ tengok dari belakang bahawa mereka mengambil gambar satu batang paip pendawaian dari tepi luar tembok dinding pagar rumah ahli majlis tersebut. Saluran paip pendawaian itu menuju terus ke bawah lampu limpah rumah itu.

Ini menunjukkan betapa aliran elektrik yang menerangi lampu limpah itu bukannya datang dari rumah ahli majlis tersebut sebaliknya dari punca luar rumah.

Untuk mengesahkan bahawa ini bukan satu prasangka, Belalang kemudiannya melihat salah seorang daripada mereka menutup suis kotak lektrik awam yang terletak tidak jauh dari situ. Dan apabila suis itu ditutup lampu limpah berkenaan dan lampu dari tiang letrik yang terletak di depan jalan rumah ahli majlis itu pun padam.

Amat jelas sekali dari mana sumber elektrik itu datang. Iaitu dari sumber elektrik awam yang ditanggung oleh majlis bandar raya berkenaan. Dan ahli majlis itu selama ini menggunakannya secara haram dan percuma. Entah dah berapa tahun dia menikmati sumber elektrik percuma untuk menerangi laman rumahnya setiap malam.

Sehari selepas itu, Belalang kembali ke kawasan berkenaan - didorong oleh perasaan ingin tahu yang amat sangat apa yang akan berlaku. Sekali lagi Belalang terkejut beruk. Lampu limpah itu telah tiada. Hilang, kaput, gone!

Bukan itu sahaja malah paip saluran pendawaian yang terletak di luar tembok pagar rumah ahli majlis itu pun telah dicabut.

Kesimpulan Belalang ialah; sama ada ahli majlis tersebut menyedari yang perbuatannya itu telah diintip dan diketahui penduduk sekitar lalu bertindak pantas menanggalkannya kerana takut atau pihak berkuasa telah bertindak hasil laporan orang ramai.

*Belalang - Termenung memikirkan masa depan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!