Jadi mata dan telinga kepada SPRM
KANGAR - Pemuda UMNO Perlis meminta semua pihak memainkan peranan dengan menjadi mata dan telinga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras kegiatan rasuah.
Ketuanya, Harmizan Abd Halim berkata, pihaknya percaya sekiranya SPRM terus konsisten dalam memerangi rasuah, masyarakat akan terus menyokong agensi itu dengan menyalurkan maklumat.
Menurutnya, pada masa sama SPRM perlu sentiasa bersama dengan masyarakat supaya tidak wujud jurang dalam menyalurkan maklumat.
“Pihak SPRM perlu mempermudahkan urusan masyarakat ketika mahu salurkan maklumat berkaitan rasuah, jangan ada sikap pilih kasih atau berat sebelah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Harmizan turut menggesa semua ahli Pemuda UMNO agar sentiasa cakna dalam usaha memerangi kegiatan rasuah yang kini membimbangkan.
“Sama-sama kita berdoa agar negara akan bebas daripada segala bentuk rasuah, mari lah kita jadikan ia satu iltizam buat kita semua.
“Jadi semua lapisan masyarakat harus berintegriti, selain berjihad memerangi rasuah secara menyeluruh,” katanya.
Pada Selasa, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyambut baik gerakan yang dipelopori Sinar Harian dalam mempromosi agenda jihad memerangi rasuah untuk memulihkan moral bangsa.
Beliau berkata, jihad tersebut perlu dalam usaha memerangi rasuah yang masih membelenggu negara ketika ini dan percaya usaha membanteras rasuah perlu dilakukan bersama agar ia tidak terus merebak dan menjadi barah yang menghancurkan bangsa dan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!