Peniaga pasar lega, pelanggan masih ramai
BATU GAJAH - Peniaga pasar awam di daerah ini lega apabila masih menerima kehadiran pengunjung yang tinggi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula Jumaat lalu.
Peniaga ayam di Pasar Awam Batu Gajah, Noor Fazidan Salleh, 55, berkata, aktiviti perniagaan mereka berjalan seperti biasa kerana orang ramai masih mendapatkan bekalan memasak di pasar.
Menurutnya, keadaan itu sedikit sebanyak melegakan mereka yang bimbang pendapatan terjejas sebagaimana berlaku ketika kerajaan mengenakan PKP Mac lalu.
"PKP pertama dulu keadaannya teruk sedikit, orang takut nak keluar ditambah pula kedai makan dan restoran ditutup, susah kami nak menjual.
"Kali ini keadaan jauh berbeza, pelanggan datang macam hari-hari biasa, mungkin sebab kerajaan beri kelonggaran perniagaan untuk beroperasi," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.
Peniaga ikan, Chan Yew Kong, 57, pula berkata, pada mulanya dia bercadang untuk mengurangkan stok ikan yang diambil daripada pembekal kerana bimbang akan mengalami kerugian jika tiada pembeli.
Bagaimanapun, dia membatalkan hasrat itu selepas mendapati, masih ramai penduduk keluar dan membeli keperluan mereka di pasar.
"Dua tiga hari ini nampak tak ada pengurangan pelanggan, ini sangat bagus untuk peniaga seperti kami. Setiap hari saya ambil 40 ke 50 kilogram ikan pun masih boleh jual macam biasa, tak ada masalah," katanya.
Bagi Mustafa Hamdonia, 58, dia terpaksa mengurangkan bekalan sayurannya daripada 10 kilogram ke sekitar 6 kilogram sahaja bagi mengurangkan impak kerugian ditanggung.
"Sayur-sayuran bukan boleh simpan lama, paling kurang pun dua hari, saya bimbang juga kalau-kalau tak ramai yang datang membeli disebabkan PKP.
"Jadi sebagai langkah awal, saya kurangkan bekalan, tetapi nampaknya masih ramai juga yang datang ke pasar dan ini satu petanda yang bagus," katanya.
Tinjauan ke Pasar Awam Batu Gajah mendapati, orang ramai sanggup beratur panjang sejak jam 6.30 pagi untuk mendapatkan barangan keperluan memasak.
Setakat jam 10 pagi tadi, pasar berkenaan merekodkan lebih 900 pengunjung termasuk penduduk dari sekitar Simpang Pulai, Gopeng dan Pengkalan.
Seorang pengunjung, V Santhi Rasu, 53, mengakui dia tidak kisah untuk beratur panjang menunggu giliran masuk ke pasar kerana memahami SOP berkenaan bagi tujuan keselamatan.
"PKP kali ini senang sikit berbanding dahulu sebab restoran masih dibuka, kalau tak mahu masak boleh beli di kedai.
"Tetapi saya lebih suka memasak, jadi waktu PKP ini, biasanya saya akan ke pasar dan beli barangan untuk stok seminggu terus, jadi tak perlu keluar banyak kali," katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Mohamad Razif Ramli berkata, ketetapan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pasar berkenaan masih dikekalkan sebagaimana PKP Mac lalu.
Katanya, selain mengamalkan jarak selamat, pengunjung juga diwajibkan memakai topeng muka, pemeriksaan suhu dan cucian tangan sebelum dibenarkan masuk ke dalam pasar.
"Daripada pemantauan kita, Alhamdulillah baik pengunjung mahupun peniaga masing-masing mematuhi SOP ditetapkan.
"Kawalan pematuhan ini akan diteruskan bersama agensi penguatkuasa yang lain terutama polis dalam usaha kita mencegah penularan wabak Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!