Bangkai yu paus ditemui dengan sirip dipotong

Ikan yu paus dipercayai mati sejak empat hari lalu namun, punca sebenar kematian masih dalam siasatan. Foto Ihsan pembaca
Ikan yu paus dipercayai mati sejak empat hari lalu namun, punca sebenar kematian masih dalam siasatan. Foto Ihsan pembaca
A
A
A

LUMUT - Bangkai ikan yu paus sepanjang 5.7 meter dengan kesan sirip kanannya dipotong ditemui terapung di perairan Sungai Dinding, Sitiawan di sini pada Sabtu.

Malah hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati perut mamalia atau nama saintifiknya, rhincodon typus itu mempunyai plastik dan ranting kayu.

Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, kedua-dua faktor tersebut disyaki menjadi punca kematian yu paus itu.

Bagaimanapun, menurutnya, punca sebenar kematian ikan seberat 1.5 tan itu masih dalam siasatan.

“Bangkai mamalia yang masih juvenil itu ditemui nelayan sekitar jam 3 petang pada Jumaat dan anggota Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh dan myKomuniti Perikanan (myKP) Teluk Senangin digerakkan untuk mencari bangkai mamalia itu.

“Usaha mencari bangkai ikan itu mengambil masa dua hari kerana terperangkap di kawasan bakau dan ia dipercayai sudah mati sejak empat hari lalu,” katanya di sini pada Ahad.

Mohd Tamimi berkata, mamalia itu dikategorikan spesis marin terancam berikutan populasinya antara seekor hingga tiga ekor dan biasa ditemui di perairan Pulau Sembilan, Bagan Datuk.

“Kita khuatir sirip ikan itu hilang disebabkan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab kerana nilai pasaran yang tinggi untuk dijadikan makanan esotik.

Artikel Berkaitan:

“Komuniti maritim dan orang awam yang menemui ikan itu dalam keadaan sudah mati atau masih hidup dinasihatkan segera melaporkan kepada kami,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!