Minyak sawit kekal kuasa besar pasaran
MINYAK sawit akan terus menjadi kuasa besar dalam pasaran minyak dan lemak walaupun timbul isu alam sekitar seperti penebangan hutan dan kempen anti minyak sawit yang mengelirukan, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
MPOB berkata statistik menunjukkan minyak sawit adalah pengeluar minyak sayuran terbesar pada 2020, sebanyak sekitar 31 peratus daripada 235.4 juta tan pengeluaran minyak dan sayuran dunia berbanding 25 peratus bagi minyak kacang soya dan 11 peratus biji sesawi.
"Daripada minyak masak sehingga membuat kek, minyak sawit digunakan dalam pelbagai produk kerana ia adalah satu-satunya minyak sayuran yang secara semulajadi separa pepejal pada suhu bilik dengan kandungan yang seimbang asid lemak tepu dan tidak tepu," katanya dalam satu kenyataan.
Minyak isirong sawit, yang mempunyai takat lebur yang tinggi membolehkan ia dipecahkan secara fizikal ke dalam stearin minyak isirong sawit yang digunakan secara meluas sebagai lemak konfectionery, kata MPOB.
"Disebabkan fleksibiliti dan fungsinya, banyak penyelidikan dan usaha dengan pelaburan modal bernilai berjuta-juta modal dilakukan bagi tujuan meniru minyak sawit tetapi tidak ada yang berjaya menyamainya kerana tidak menjejaskan alam sekitar dan melibatkan kos tinggi.
MPOB berkata tiga minyak sayuran lain - kacang soya, biji sesawi dan minyak bunga matahari, jauh lebih tinggi dalam asid lemak tak tepu daripada minyak sawit dan oleh itu kekal dalam keadaan cecair pada suhu bilik, yang mengehadkan fungsi mereka dalam makanan.
Selain itu, minyak itu memerlukan pengubahsuaian untuk menjadikannya lebih pekat dan oksidatifnya stabil apabila menggantikan minyak sawit dalam produk makanan, katanya.
Prosedur pengubahsuaian yang dikenali sebagai hidrogenasi dapat menghasilkan asid lemak trans yang terbukti berbahaya bagi kesihatan manusia.
"Hidrogenasi minyak sayuran tak tepu boleh berguna untuk aplikasi bukan makanan iaitu ‘surfactants’ dan kosmetik, profil asid lemak yang berbeza adalah penting untuk menyamai konsistensi dan perubahan yang berlaku dalam minyak sawit yang digunakan dalam produk tersebut.
"Ia melibatkan kos tinggi dan kurang produktif berbanding minyak kelapa sawit," katanya.
MPOB berkata para penyelidik sedang melakukan analisis dengan pelbagai kaedah untuk menghasilkan minyak dengan kualiti yang sama dengan minyak sawit.
Para saintis sedang fokus untuk menyusun semula molekul lemak pada gliserol menggunakan enzim untuk mendapatkan lemak dengan fungsi yang serupa dengan minyak sawit dengan harapan dapat menggantikan minyak sawit dalam produk makanan.
"Di peringkat global, minyak sawit meliputi 23.4 juta hektar tanah penanaman, lima kali ganda lebih kecil daripada kawasan penanaman kacang soya, tetapi menghasilkan secara purata 3.24 tan sehektar setiap tahun.
"Ia sama seperti tujuh kali lebih banyak daripada minyak kacang soya dan empat kali lebih banyak daripada minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari," katanya.
MPOB berkata angka terkini menunjukkan bahawa kira-kira 55,6 peratus daripada 33 juta hektar kawasan di Malaysia diliputi hutan, mengatasi ikrar awal Malaysia iaitu mengekalkan 50 peratus hutan di Rio Earth Summit pada tahun 1992.
“Komitmen dan usaha yang serius untuk mencapai matlamat ini termasuk pembangunan sistem pemantauan ekosistem, penanaman semula pokok, mengadakan projek berasaskan ekosistem, penyelesaian berasaskan alam sekitar, perkhidmatan ekosistem, pengurusan kawasan dan sumber alam sekitar yang lestari dan menambahbaik produktiviti komoditi tanpa perluasan tanah,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!