Aaron-Wooi Yik terlepas gelaran juara Terbuka Thailand
BEREGU utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan aksi penuh semangat sebelum tunduk kepada pasangan ketujuh dunia dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin dalam final kejohanan badminton Terbuka Thailand Toyota sebentar tadi.
Pasangan di ranking kesembilan dunia itu tewas 13-21, 18-21 dalam perlawanan berlangsung selama 36 minit di Impact Arena, Bangkok.
“Mereka memberi tekanan kepada kami sejak dari mula. Mereka lebih kuat dari kami, ia agak sukar untuk melakukan serangan. Namun, pada set kedua, kami bermain lebih agresif.
“Tapi, lawan kami bermain dengan baik sekali, mereka mengasak hingga kami melakukan banyak kesilapan,” kata Wooi Yik dalam laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.com.
Sementara itu, Aaron berkata, mereka telah mempamerkan prestasi lebih baik berbanding kejohanan sebelum ini menyaksikan mereka tersingkir awal dalam saingan Terbuka Thailan Yonex minggu lalu.
“Hari ini, kami tidak berjaya meraih juara namun di tempat kedua sudah cukup mengembalikan keyakinan kami. Minggu depan, semuanya bermula dari bawah. Kami perlu fokus dalam permainan, lupakan apa yang telah berlaku dan mula kembali,” kata Aaron.
Gandingan Taiwan itu membawa pulang hadiah AS$74,000 (RM298,726) manakala pasangan negara meraih AS$35,000 (RM141,289) selaku naib juara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!