Padah tangkap ikan di kawasan larangan

Maritim
Maritim
A
A
A

SANDAKAN - Dua bot nelayan tempatan ditahan bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sandakan pagi tadi, kerana disyaki menangkap ikan di luar kawasan dibenarkan, di bawah tiga batu nautika dari pantai Sandakan.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata bot pertama ditahan kerana leka menunda pukat pada kedudukan 1.8 batu nautika di perairan Tobanka, manakala bot kedua pada kedudukan 1.9 batu nautika di perairan sama kira-kira 9.30 pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan pada bot pertama, seorang tekong dan awak-awak warga Indonesia masing-masing berumur 28 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Seorang lagi tekong dan awak-awak berumur 32 dan 31 tahun diperiksa pada bot kedua adalah warga tempatan. Kesemua mereka ditahan dan bot diiringi ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan agar komuniti maritim sentiasa bekerjasama dengan pihak APPM dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!