Desakan Ahmad Zahid berundur tidak perlu dibangkit: Adnan
SHAH ALAM - Desakan agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur tidak perlu dibangkitkan kerana pemilihan parti bakal diadakan tidak lama lagi, kata Timbalan Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Adnan Seman.
Menurutnya yang juga seorang peguam, ahli parti boleh menilai dan membaca sentimen rakyat malah menilai dan membaca apa jua propaganda yang cuba dimainkan oleh parti lawan pada pemilihan berkenaan.
"Penilaian ini akhirnya akan dapat memutuskan siapakah yang wajar menjadi presiden dan mampu membawa UMNO kembali mendominasi kerajaan semula. Itu yang penting," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan parti-parti politik yang ada dalam gabungan Perikatan Nasional yang menubuhkan kerajaan pada hari ini juga sudah tentu mempunyai matlamat parti masing masing.
Sehubungan itu, bagi UMNO pula platform terbaik bagi menentukan hala tuju parti dan sokongan ahli terhadap seseorang pemimpin dalam parti adalah menerusi pemilihan parti yang bakal diadakan kelak.
"Pada pemilihan tersebut, kita boleh membuat keputusan masing masing dan mengundi siapa calon paling layak sebagai presiden parti," katanya.
Selain itu katanya, kedudukan gabungan parti-parti politik yang bakal berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga masih belum muktamad.
"Isu calon perdana menteri tentunya akan ditentukan berdasarkan gabungan parti-parti yang dibentuk untuk berdepan PRU15.
"Barisan Nasional (BN) boleh meletakkan calon perdana menteri selain Presiden UMNO jika ianya diputuskan Majlis Tertinggi UMNO kelak," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!