Tok Mat nafi dipilih sebagai calon PM
SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan dakwaan bahawa beliau dipilih sebulat suara sebagai calon Perdana Menteri untuk Muafakat Nasional (MN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, dakwaan itu adalah berita palsu.
"Sila ambil maklum. Ini adalah berita palsu. Berita palsu 'lebih cepat' tersebar berbanding virus Covid-19.
"Berhati-hatilah," katanya menerusi ciapan di akaun Twitter rasmi beliau, Tok Mat Hasan N9 pada Ahad.
Menerusi ciapan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan turut berkongsi pautan Instagram beliau yang memaparkan tangkap layar berita palsu tersebut.
Berdasarkan paparan itu, nama Tok Mat dikatakan telah disenaraikan sebagai calon Perdana Menteri bagi MN dan telah mendapat undian tertinggi berbanding calon-calon lain pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!