Cabaran kerjaya pensyarah

A
A
A

SEBAGAIMANA bidang lain, kerjaya sebagai pensyarah universiti juga semakin mencabar sejak awal tahun lepas apabila Malaysia dan seluruh dunia dilanda wabak Covid-19.

Tugas seorang pensyarah bukanlah mengajar dan menyelia pelajar semata-mata tetapi ia melibatkan penulisan jurnal, penyelidikan, kerja pentadbiran, khidmat masyarakat, penglibatan dalam badan profesional, dan pencarian dana penyelidikan.

Seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19, kaedah pembelajaran atas talian menjadi satu keperluan. Pengajaran dan pembelajaran secara atastalian atau e-pembelajaran bukanlah perkara asing di universiti apatah lagi menerusi falsafah ‛sibergogi’ (pembelajaran maya) yang begitu dekat dengan generasi hari ini selain daripada heutagogi (pembelajaran kendiri) dan paragogi (pembelajaran berorientasikan rakan sebaya).

Ini mungkin tidak menjadi masalah untuk sesetengah kursus tetapi bagi kursus perubatan dan pergigian misalnya, ia agak sukar lebih-lebih lagi untuk pelajar pra-klinikal dan klinikal. Sebagai contoh, bagi saya yang mengajar bidang radiologi oral, ilmu boleh diturunkan secara teori tetapi bagaimana untuk memberi latihan praktikal? Bagaimanakah caranya pensyarah pergigian memberi latihan praktikal kepada pelajar klinikal untuk merawat gigi berlubang?Secara atas talian juga?

Pensyarah terpaksa terus berusaha menyesuaikan diri dengan skop kerja yang semakin meluas dan mencabar. Jika sebelum ini, penerbitan artikel dalam jurnal berwasit indeks SCOPUS sudah memadai, sekarang pensyarah perlu menulis dalam jurnal berindeks ISI (International Scientific Indexing) bagi kategori Q1 dan Q2 jika berkeinginan untuk naik pangkat. Memang sukar untuk sesuatu artikel diterima dan ia memakan masa yang agak lama untuk diterbitkan; kebiasaannya setelah gagal beberapa kali.

Setelah beberapa kali gagal, barangkali masih ada semangat untuk menghantar lagi artikel ke jurnal antarabangsa berprestij yang lain, demi mengejar kategori Q1 dan Q2. Bagaimanapun, sekiranya berkali-kali gagal, boleh timbul juga perasaan jemu dan putus asa. Itulah antara cabaran bagi seorang pensyarah.

Dalam penyelidikan pula, tugas mendapatkan geran penyelidikan bukannya mudah. Kertas kerja yang lengkap dan mengambil masa yang lama untuk disiapkan bukanlah tiket untuk mendapat geran. Sebagai contoh, bagi permohonan geran penyelidikan daripada Kementerian Pengajian Tinggi, peratus kelulusan adalah kecil iaitu Geran Fundamental (30 peratus), Geran Prototaip (16 peratus), Geran Transdisiplinari (2 peratus), dan Geran Jangka Panjang (8 peratus).

Maka, pensyarah perlu juga mencari dana atau geran melalui kerjasama dengan industri, serta melakukan penyelidikan bagi membantu industri terbabit. Selain itu, pensyarah perlu memberikan khidmat rundingan atau sebagai pakar rujuk bagi pihak industri juga khidmat masyarakat kepada komuniti. Penglibatan dalam badan profesional dalam dan luar negara juga perlu supaya lebih dikenali serta meningkatkan KPI universiti.

Bagi pensyarah perubatan dan pergigian, mereka bukan sahaja perlu mengajar bakal doktor perubatan dan pergigian, mereka juga perlu melatih bakal pakar perubatan dan pergigian dari dalam dan luar negara. Di samping itu, mereka masih perlu ke klinik dan terlibat dalam pembedahan yang memakan masa berjam-jam, demi menyelamatkan nyawa pesakit.

Artikel Berkaitan:

Walaupun sangat mencabar, lebih-lebih lagi pada musim pandemik kini, saya yakin mereka yang bergelar pensyarah tidak menyesal dengan kerjaya yang dipilih.Sebagaimana petugas barisan hadapan berjuang saban hari mendepani suasana pandemik, saya mendoakan semoga Allah permudahkan juga segala urusan para pensyarah.Semoga segala ilmu yang dicurahkan menjadi amal jariah sebagai bekalan di akhirat kelak.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!