PKP penuh: Masih ada pilihan lain
SHAH ALAM- Kerajaan masih mempunyai pilihan lain bagi memastikan angka jangkitan Covid-19 harian yang tinggi ketika ini dikawal dan tidak perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang lebih ketat.
Penganalisis ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mempercepatkan proses perolehan vaksin.
“Bagi saya total lockdown bukan cara penyelesaian terbaik kerana ia akan memberi impak negatif kepada rakyat dan sektor ekonomi untuk jangka masa sederhana dan panjang.
“Selain itu, usaha yang kerajaan lakukan sebelum ini dengan mengeluarkan belanja besar sebanyak RM320 bilion sebagai suntikan fiskal untuk merangsang ekonomi sejak penularan Covid-19 akan menjadi sia-sia,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Media pada Ahad melaporkan kerajaan mungkin akan melaksanakan PKP yang lebih ketat termasuk melarang semua sektor ekonomi utama daripada beroperasi selepas PKP 2.0 berakhir pada 4 Februari depan sekiranya kes Covid-19 masih tinggi.
Mengulas lanjut, Madeline berkata, setakat ini sebanyak lima suntikan fiskal telah dilakukan kerajaan bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahatir Mohamad pada Februari tahun lalu.
Menurutnya, suntikan fiskal terbaharu iaitu Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) pula diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari lalu.
Katanya, menerusi suntikan demi suntikan yang dibuat itu ekonomi negara ketika ini semakin menunjukkan pemulihan.
“Jadi, kalau dilaksanakan total lockdown ia akan menjejaskan usaha pemulihan itu kerana seolah-olah kita kembali kepada titik permulaan.
“Situasi tersebut akan membuatkan rakyat yang terkesan dengan keadaan ekonomi semasa akan bertambah miskin, selain memberi kesan kepada keseluruhan rantaian ekonomi,” katanya.
Tegas beliau, aspek kesihatan rakyat sememangnya penting dan sewajarnya menjadi keutamaan kerajaan, namun jalan penyelesaian bukannya menerusi PKP penuh seperti PKP 1.0 tahun lalu.
“Kita tak nafikan penguatkuasaan total lockdown akan mengurangkan penularan kes dan memulihkan ekonomi untuk jangka pendek tetapi untuk jangka masa sederhana dan panjang ia akan beri kesan negatif yang besar,” katanya.
Justeru itu, beliau juga meminta rakyat untuk sama-sama bertanggungjawab mencegah penularan wabak itu dengan mengurangkan pergerakan keluar rumah, patuh pada penjarakan fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!