PKP penuh wajar jika kes masih tinggi
SHAH ALAM - Pakar kesihatan berpendapat sekiranya pola pertambahan kes aktif Covid-19 untuk tempoh dua minggu akan datang kekal serta tidak menunjukkan perubahan maka Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh wajar dilaksanakan.
Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman, pertimbangan untuk melaksanakan PKP menyeluruh atau total lockdown mungkin berdasarkan situasi semasa dan sehingga ke hari ini tiada penurunan kes aktif direkodkan sejak awal November tahun lalu.
"Walaupun PKP telah dilaksanakan lebih 10 hari lalu yang pada mulanya melibatkan lima negeri dan tiga Wilayah Persekutuan yang kemudiannya dipanjangkan hampir ke seluruh negara kecuali Sarawak, angka empat digit kes harian terus dicatatkan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tambah Malina, pola yang sama juga dicerap untuk bilangan yang memerlukan rawatan di ICU, mereka yang perlu menerima bantuan mesin pernafasan dan juga angka kematian.
"Angka kes aktif kumulatif pula melebihi 40,000, dan beban kerja ditanggung oleh kakitangan kesihatan ditunjukkan melalui pertambahan katil di pusat kuarantin dan penambahan bilangan pusat kuarantin serta penubuhan hospital bersepadu.
"Sekiranya PKP menyeluruh dilaksanakan ia adalah bagi mengelakkan tekanan berterusan kepada sistem kesihatan sehingga boleh mengakibatkan kelumpuhan sistem," katanya lagi.
Namun, berdasarkan pengalaman lalu, Malina mencadangkan aktiviti yang telah membuktikan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) pada tahap cemerlang diteruskan seperti biasa.
"Contohnya aktiviti ekonomi di pusat membeli-belah atau kedai-kedai, perbankan, jabatan kerajaan yang berurusan dengan orang ramai dan mana-mana organisasi yang telah membuktikan tahap kepatuhan yang tinggi," katanya lagi.
Ujarnya, kerajaan juga perlu mengambil inisiatif menurunkan harga siling ujian saringan bagi membolehkan masyarakat berkemampuan untuk melaksanakan ujian tersebut secara sukarela apabila terdapat risiko atau pendedahan.
"Dengan adanya ujian saringan yang lebih murah dan lebih kerap, banyak sektor dan institusi dapat dibuka semula seperti biasa kerana hanya mereka yang terbukti negatif boleh bekerja dan berurusan di luar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!