Datuk didakwa ugut belah kepala isteri
KOTA BHARU - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan mengugut untuk membelah kepala isterinya dengan pisau dan memukul wanita itu dua minggu lalu.
Kedua-dua pertuduhan terhadap Datuk Razali Daud, 64, dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Tuan Ruzuaini Tuan Lah.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan isterinya, Nurhaslinda Anuar, 43, untuk mengambil pisau dan membelah kepala wanita itu di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh, Kubang Kerian di sini pada jam 11.30 pagi, 16 Januari lalu.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika sabit kesalahan.
Pada pertuduhan kedua, Razali didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurhaslinda pada masa, tarikh dan di lokasi yang sama.
Pendakwaan bagi tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.
Terdahulu, Shahril mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000 ditetapkan mahkamah bagi kedua-dua pertuduhan.
Ahmad ‘Adha bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya masih menanggung seorang anak berusia 14 tahun dan ibu yang sudah uzur.
“Ibu tertuduh berusia 82 tahun sedang sakit serta memerlukan perbelanjaan perubatan sebanyak RM3,000 sebulan.
“Selain itu, tertuduh juga mempunyai penyakit tekanan darah tinggi dan Generalized Anxiety Disorder (GAD) atau kebimbangan melampau,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jaminan sebanyak RM6,500 dengan dua penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Mac depan.
Tertuduh selepas itu membayar wang jaminan berkenaan.
Sebelum ini, pada 9 November tahun lalu, Razali mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret sama atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan menggunakan pistol terhadap Fauzilah Mohamed, 53, dan dakwaan mencederakan wanita itu di tepi Jalan Long Yunus di sini pada 28 Oktober lalu.
Kes tersebut masih dalam perbicaraan.
ARTIKEL BERKAITAN: Datuk didakwa cederakan wanita, ugut guna pistol
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!