Cari adik terpisah sejak 16 tahun lalu
JELEBU - Seorang wanita mencari adik kandungnya yang terpisah sejak 16 tahun lalu untuk menjadi wali bagi urusan pernikahannya yang dijadualkan bulan depan.
Norul Maslindaniza Irwani Jamaluddin, 42, berkata, masalah keluarga menjadi punca perpisahannya dengan adik lelaki Norul Irwan Shah, 35, dan dua lagi adik beradik lain.
"Saya tidak tahu di mana mereka tinggal sekarang. Tapi saya berusaha mencari mereka di Balakong, Selangor bulan lalu iaitu tempat tinggal terakhir keluarga sebelum saya nekad keluar rumah.
"Saya ada bertanya dengan jiran, tapi mereka pun tidak tahu di mana ahli keluarga saya berada sekarang. Saya juga diberitahu ibu Normah Abd Karim yang kini berusia 62 tahun masih hidup dan tinggal bersama adik beradik lain," katanya yang tinggal di Kuala Klawang.
Menurutnya, semakan yang dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara juga memaklumkan ayahnya sudah meninggal dunia pada tahun 2009.
Kata Norul Maslindaniza Irwani, dia sudah lama melupakan masalah yang berlaku antara mereka dan berharap hubungan yang keruh dapat dipulihkan.
Sementara itu katanya, dia sudah membuat permohonan untuk berkahwin di Pejabat Agama Islam Jelebu termasuk permohonan wali hakim.
"Bagaimanapun saya masih berharap dapat bertemu adik lelaki dan mahu dia yang menjadi wali pada pernikahan saya bulan depan," katanya.
Norul Maslindaniza Irwani berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat keluarganya dan jika ada adik beradiknya membaca berita ini boleh menghubunginya ditalian 011-28544236.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!