Perompak berparang dicekup polis
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, ketika kejadian jam 11.50 pagi semalam, anak pemilik kedai berusia 29 tahun, sedang menjaga kedai tersebut.
Menurutnya, wanita itu kemudian didatangi lelaki tidak dikenali yang memintanya membaiki telefon bimbit yang rosak.
"Semasa mangsa memeriksa telefon tersebut, suspek berusia 23 tahun itu tiba-tiba mengacukan parang serta meminta wang.
"Kemudian suspek merampas semula telefon miliknya dan mengambil telefon milik mangsa sebelum melarikan diri," katanya.
Beliau berkata, berlaku pergelutan di antara mereka ketika mangsa cuba menangkapnya.
"Suspek bertindak melibas parang ketika cuba lari dengan motosikal, namun tidak mengenai mangsa.
"Kemudian mangsa menarik baju yang dipakai oleh suspek hingga menyebabkan suspek tidak dapat mengawal motosikal dan melanggar cermin serta tiang kedai sebelum terjatuh di atas jalan bersama parang," katanya.
Ahmad Nasir berkata, suspek bagaimanapun mengambil semula parang miliknya yang berada berdekatan, dan mengacu sekali lagi kepada mangsa.
"Mangsa tidak dapat berbuat apa-apa pada masa itu kerana takut dicederakan dan suspek terus melarikan diri dengan motosikal," katanya.
Beliau berkata, lelaki berkenaan bagaimanapun berjaya dikesan polis ketika menjalankan
tugas Ronda Cegah Jenayah Kob di tepi jalan kawasan perniagaan Taman Mutiara Sungai Kob Karangan.
Katanya, suspek mengakui terlibat dalam kejadian itu dan hasil semakan mendapati dia mempunyai dua rekod lampau.
"Semakan mendapati motosikal digunakan suspek jenis SYM berwarna biru hitam didaftarkan dengan nombor pendaftaran palsu,"katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!