Covid-19: 1,010 orang ditempatkan di 17 stesen kuarantin di Johor
![Vidyananthan (kanan) diberi penerangan dan taklimat ringkas berkenaan operasi CACJB Klinik Kesihatan Bukit Indah, Johor Bahru pada Ahad.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/01/25/951616.jpg)
JOHOR BAHRU - Seramai 1,010 individu ditempatkan di 17 buah stesen kuarantin untuk kes Covid-19 di seluruh Johor sehingga Ahad.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, daripada jumlah tersebut seramai 113 melibatkan bukan warganegara dan 70 orang lagi adalah warganegara.
"Mereka semua adalah individu yang masuk melalui Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) yang dikenakan perintah kuarantin wajib di stesen kuarantin yang telah ditetapkan kerajaan.
"Terdapat 17 stesen kuarantin yang dibuka sehingga kini. Sebanyak 13 stesen kuarantin melibatkan hotel manakala empat stesen lagi merupakan stesen kuarantin Institut Latihan Awam (ILA)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, bagi kapasiti semasa sebanyak 2,764 buah bilik disediakan yang mampu memuatkan seramai 2,768 orang.
"Penugasan petugas di pusat kuarantin ini juga melibatkan pelbagai agensi dengan kekuatan anggota seramai 319 orang," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, seramai 2,829 menggunakan skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan 18,511 menggunakan skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) bagi kemasukan dari Singapura sehingga Ahad.
Menurut Vidyananthan, jumlah kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pengguna skim PCA kekal sebanyak empat kes manakala pengguna skim RGL sehingga kini tiada kes positif dikesan.
Sementara itu, beliau berkata, sehingga Ahad sebanyak 64 Kluster Covid-19 aktif di Johor dengan dengan dua kluster terbaharu iaitu Kluster Kelili Tujuh yang menyumbang 21 kes dan Kluster Jalan Tengar (lapan kes).
Beliau berkata, kedua-dua kluster baharu berkenaan aktif di daerah ini yang dikesan di tempat kerja di kawasan perindustrian sebelum saringan dilakukan terhadap semua kontak.
Selain itu, Vidyananthan diiringi Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu mengadakan lawatan ke Covid-19 Assessment Centre Johor Bahru (CACJB) Klinik Kesihatan Bukit Indah di sini pada Ahad.
Vidyananthan mendengar taklimat dan melihat sendiri CACJB berfungsi yang mula beroperasi pada 10 Januari lalu dengan memberikan penilaian dan rawatan awal kepada pesakit positif Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!