'Drawbridge' sudah kena conteng

Pekerja Drawbridge menunjukkan kesan contengan di dinding bawah jambatan.
Pekerja Drawbridge menunjukkan kesan contengan di dinding bawah jambatan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jambatan ikonik Terengganu, jambatan angkat atau 'drawbridge' yang menjadi salah satu tarikan pelancongan baharu negeri ini menjadi mangsa vandalisme oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi itu mendapati, dakwaan yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu mengenai kejadian itu benar-benar berlaku.

Contengan berbentuk lukisan dan tulisan berwarna hitam dan putih itu dilakar di dinding bawah jambatan berkenaan.

Pengurus Pemasaran TI Properties Sdn Bhd, Mohd Nazahar Samsudin ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, kejadian itu disedari kira-kira dua minggu lalu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Terengganu bermula 22 Januari lalu.

"Kita sangat kesal dengan kejadian ini kerana jambatan ikonik ini baharu sahaja dibuka dan menjadi tarikan pelancongan kepada pengunjung dalam dan luar negara.

"Memang ada pengawal keselamatan yang bertugas dan setiap dua jam, ada pengawal yang akan turun membuat pemantauan di bawah jambatan.

"Mungkin kejadian itu berlaku sewaktu ketiadaan pengawal yang bertugas. Kita harapkan kejadian sebegini tidak lagi berulang bagi menjaga kebersihan dan kecantikan drawbridge ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

TI Properties Sdn Bhd merupakan operator yang mengendalikan Drawbridge.

Jambatan ikonik yang bernilai RM248 juta itu menjadi jambatan keempat yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding hanya tiga sebelum ini, iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Ia mula dibuka kepada orang awam mulai jam enam pagi pada 1 Ogos 2019 dan merupakan jambatan angkat pertama di Asia Tenggara, sepanjang 638 meter serta mempunyai dua menara setinggi 16 tingkat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!