Bakar Jalur Gemilang: Tindakan tegas terhadap Elly Pamatong'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bagi mengelakkan insiden membakar bendera sesebuah negara berulang, Yayasan Perpaduan Malaysia meminta kerajaan Filipina mengambil tindakan tegas terhadap Elly Pamatong yang mencetuskan kontroversi membakar Jalur Gemilang di Filipina pada 19 dan 21 Januari lepas.

Anggota Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata tindakan tegas itu perlu sebagai pengajaran kepada semua.

"Bendera adalah simbol, identiti serta kebanggaan sesebuah negara. Bendera harus dihormati dan tidak seharusnya dihina, apatah lagi membakarnya secara terbuka.

"Bukan setakat Jalur Gemilang yang tidak patut dibakar tetapi semua simbol dan identiti sesebuah negara harus dihormati pada setiap masa. Sebagai seorang manusia, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati harus dijadikan panduan yang diamalkan dalam kehidupan seharian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee merujuk video kontroversi yang disiarkan dalam akaun Facebook ‘President Pamatong Supporters’ pada 19 dan 21 Januari lepas, memaparkan Elly Pamatong yang mengaku sebagai pengasas ‘United States Allied Freedom Fighters of the East’ (USAFFE), membakar bendera Malaysia.

Dalam video itu, Elly Pamatong dikatakan mengeluarkan kenyataan-kenyataan anti-Malaysia yang menyinggung perasaan masyarakat negara ini, sekali gus memberi kesan kepada hubungan dua hala di antara Kuala Lumpur dan Manila.

Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan semalam, berkata negara itu kesal dengan kejadian yang menyinggung perasaan rakyat Malaysia tersebut dan pihak berkuasanya akan menangani insiden berkenaan.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan bakar Jalur Gemilang melampau

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!