95 hospital swasta setuju rawat pesakit Covid-19

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 95 hospital swasta telah menyatakan persetujuan untuk merawat pesakit Covid-19 di premis mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kapasiti di hospital berkenaan merangkumi sebanyak 1,286 katil dan 65 katil unit rawatan rapi (ICU) serta 54 alat bantuan pernafasan (ventilator).

"Kita masih lagi menunggu 26 hospital untuk menyatakan persetujuan mereka," katanya.

Menurutnya, perkembangan itu adalah susulan libat urus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama hospital swasta.

"Ini satu perkembangan yang baik kerana KKM baru sahaja mengadakan libat urus pada 23 Januari dan respons diterima sangat baik," katanya pada sesi Taklimat Media Darurat Covid-19 secara maya pada Isnin.

Taklimat yang berlangsung dua jam itu turut disertai tiga pakar iaitu Ketua Pengarah Kanan Sektor Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis Dan Kecemasan, Dr A Maheshwara Roa; Pakar Perubatan Kecemasan Central Unified Command Centre, Dr Sarah Shaik Abdul Karim dan Timbalan Pengarah (Kesihatan Primer) Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Dr Nazrila Hairizan Nasir.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga bersetuju untuk memberi pinjaman ubat-ubatan kepada hospital swasta yang merawat pesakit Covid-19.

"Kita faham mereka tiada bekalan ubat kerana tidak pernah merawat pesakit Covid-19. Apabila mendapat bekalan, mereka akan pulangkan kepada KKM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerjasama dengan pihak swasta bukan perkara baharu berikutan KKM pernah mendapat bantuan seramai 66 pakar daripada hospital swasta yang membantu KKM selama enam bulan ketika gelombang kedua pandemik Covid-19.

"Ordinan Darurat yang digunakan ini juga memberi kelonggaran kepada tenaga kerja kedua-dua sektor untuk berkhidmat di mana-mana saja mereka diperlukan," katanya.

Dengan perkembangan itu, beliau berkata, ekspatriat seperti pihak kedutaan, wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang berada di negara ini dan dijangkiti Covid-19 boleh memilih hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.

"Sebelum ini ekspatriat yang positif Covid-19 dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini mereka boleh memilih," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai vaksin, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia mendapat banyak maklumat mengenai keberkesanan vaksin yang dikeluarkan oleh Pfizer and BioNTech selepas empat bulan program vaksinasi dijalankan United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

"Ia memberi kelebihan kepada kita untuk melihat maklumat dan kesan samping," katanya.

Menurutnya, vaksin Pfizer mempunyai kesan samping yang rendah seperti kemerahan dan demam berikutan ia menyesuaikan diri ke dalam badan.

"Ada kes yang meninggal berkemungkinan tidak ada kena mengena dengan vaksin.

"Ada juga didapati berlaku Bell's palsy sama ada disebabkan oleh vaksin atau secara kebetulan. Kita akan menjalankan penilaian keberkesanan vaksin dalam tempoh terdekat dan untuk jangka masa panjang," katanya.

Meskipun terdapat negara memberikan vaksin kepada rakyat berusia 16 tahun, beliau berkata, KKM tidak berhasrat melakukannya.

"Kita tidak melihat data kajian melibatkan individu berusia 16 tahun begitu juga tiada kajian dilakukan terhadap wanita mengandung dan menyusukan anak," katanya.

Malaysia dijangka akan menerima vaksin pada 26 Februari depan dengan memberi tumpuan kepada barisan hadapan sebelum golongan rentan dan dewasa pada fasa berikutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!