MFL kenal pasti calon pengurus besar PMOM
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan sudah mengenal pasti calon sesuai bagi jawatan pengurus besar badan pengadil bebas, Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM).
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, individu tersebut yang merupakan antara empat calon disenarai pendek adalah dari luar negara dan bukan dalam kalangan tenaga pengajar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut beliau, jawatan pengurus besar itu tidak semestinya diisi oleh seseorang daripada FIFA mahupun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), sebaliknya antara kriteria utama yang dititikberatkan adalah pengalaman mengendalikan badan pengadil profesional.
“Individu yang ada pengalaman sebagai pengadil memang ramai, tetapi kami mahu pastikan tiada kepincangan dalam perjalanan seawal langkah pertama...jadi kami perlukan seseorang yang juga ada pengalaman dalam pengurusan badan pengadil profesional.
“FIFA dan AFC ini diibaratkan sebagai kerajaan bola sepak tetapi sektor swasta juga banyak antaranya PGMOL jadi ia tidak bermakna seseorang pengadil profesional itu seharusnya memiliki status pengajar FIFA atau AFC,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kevin turut berkata ketika ini pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada individu terbabit sama ada beliau boleh berpindah dan menetap di Malaysia.
“Katakan beliau boleh bekerja di Malaysia kemudian barulah kami boleh berbincang mengenai kontrak atau sebagainya. Jadi langkah pertama adalah memastikan sama ada beliau boleh berpindah ke Malaysia atau tidak,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Kevin menegaskan PMOM berada dalam landasan tepat dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya bermula tahun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!