Gajah masuk sekolah, Perhilitan baiki pagar elektrik
GERIK - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak menyelenggara kerosakan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) susulan kejadian gajah menceroboh ke kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Kemar di sini baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang muat naik dalam Facebook rasmi jabatan itu, tiga unit lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) berwarna biru turut dipasang bertujuan untuk menakutkan haiwan liar itu pada Khamis lalu.
“Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia telah mengambil tindakan susulan untuk menyelenggara kerosakan pada SPEG.
“Tiga unit lampu LED biru telah dipasang untuk menakutkan gajah pada 21 Januari lalu,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Menurut kenyataan itu, pihaknya meminta kerjasama pihak sekolah dan penduduk untuk menjaga pagar elektrik berkenaan demi keselamatan.
“Perbincangan Perhilitan Perak bersama pihak sekolah dan wakil penduduk di lokasi kejadian yang terletak bersempadan dengan kawasan hutan telah dilakukan bagi bersama-sama menjaga pagar elektrik tersebut.
“Ia demi keselamatan penduduk di kawasan tersebut terutama pelajar dan guru. Sebarang maklumat berkaitan hidupan liar boleh disalurkan ke talian hotline di 1800-88-5151,” katanya.
Terdahulu, video yang tular di media sosial merakam seekor gajah dewasa dianggarkan berusia 35 tahun dilihat masuk ke kuaters guru dipercayai untuk mencari makanan.
Kejadian itu sempat dirakam seorang lelaki, namun haiwan itu tidak bertindak agresif.
Sementara itu, Guru Besar SK RPS Kemar, Suzana Aman ketika dihubungi Sinar Harian berkata, kejadian itu berlaku beberapa hari sebelum sesi persekolahan bermula pada Khamis.
“Difahamkan sudah tiga hari berturut-turut gajah masuk ke kawasan sekolah dan merosakkan kuaters guru dipercayai untuk cari makanan.
“Kami berhubung dengan pihak Perhilitan dan mereka bertindak pantas membaiki pagar elektrik di tepi sekolah ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!