150,000 pelajar B40 bakal terima komputer riba, tablet
Yayasan Hasanah menerusi Inisiatif Cerdik salur komputer riba, tablet, data Februari ini
SHAH ALAM – Seramai 150,000 orang pelajar bakal menerima komputer riba, tablet dan data melibatkan dana sebanyak RM150 juta pada Februari ini.
Kemudahan itu disediakan menerusi Inisiatif Cerdik yang dikendalikan oleh Yayasan Hasanah bertujuan untuk membantu keluarga berpendapatan rendah (B40).
Pengarah Urusannya, Shahira Ahmed Bazari berkata, pihaknya amat komited untuk menyokong inovasi dan pengembangan model pembelajaran yang mempromosikan kesaksamaan dan keadilan bagi membolehkan akses pembelajaran berkualiti untuk semua.
“Hasanah bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam mereka bentuk inisiatif Cerdik bagi memastikan kemampanan pelaksanaannya.
“Cerdik akan mengagihkan peringkat pertama peranti ini bermula dari Februari dan seterusnya. Kami sedang bekerja keras dengan semua pihak untuk mempercepatkan kadar pengedaran.
“Kami berbesar hati dapat menerajui inisiatif ini bersama dengan Kementerian Kewangan, KPM dan rakan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi melakukan perubahan sewaktu tempoh yang mencabar ini,” katanya pada Isnin.
Usaha itu akan dapat membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk membiasakan diri dengan norma baharu bagi pembelajaran dalam talian, e-pembelajaran dan pengajaran di luar kelas.
Dana tersebut merupakan sumbangan daripada 13 GLIC dan GLC mewakili syarikat di bawah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PETRONAS.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof berkata, pihak kementerian mahu merapatkan jurang pembelajaran di antara yang mampu memiliki peranti digital dengan yang kurang bernasib baik.
“Kami berharap inisiatif ini akan merintis model-model pembelajaran digital untuk penggunaan pada masa depan,” katanya.
Kementerian Pendidikan juga akan meneliti dan memutuskan mengenai spesifikasi perkakasan dan perisian bagi memastikan pelaksanaan yang mampan termasuk sokongan jaminan, kebolehgunaan dan jangka hayat lebih lama untuk pembelajaran digital masa depan.
Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November lepas oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan mengumumkan inisiatif tersebut kepada 150,000 murid di 500 sekolah sebagai projek rintis menerusi yayasan tersebut.
Sejak 2010, Yayasan Hasanah dan Khazanah telah bekerja bersama KPM dalam inisiatif pendidikan pelbagai tahap-sistem bagi menyokong pendidikan inklusif untuk pelajar di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!