'Tangan sejuk' abang bomba
LUMUT - Mengindahkan landskap dengan menanam pelbagai pokok bunga mungkin dianggap perkara biasa. Namun, bagi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung di sini, mereka menampilkan kelainan apabila memanfaatkan kawasan dengan penanaman herba, sayur dan buah-buahan sebagai hiasan.
Bukan sahaja handal mengendalikan operasi penyelamatan, malah 54 pegawai dan anggota balai itu juga hebat bercucuk tanam hinggakan berjaya menuai tembikai susu, kacang tanah, sayur-sayuran, pisang dan tebu sejak tahun lalu.
Lebih 60 jenis pokok termasuk herba sukar ditemui ditanam seperti tongkat ali, kunyit hitam, lemuju, bunga gincu, cermai mekah, bisa ular dan gandarusa.
Ketua Balai, Shuib Idris berkata, berinpirasikan daripada program pertanian dalam bandar, aktiviti bercucuk tanam itu dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun tahun lalu di kawasan balai seluas 1.2 hektar."Bukan sahaja tanaman herba, dusun pisang turut diwujudkan hasil usaha anggota yang komited dalam mengusahakan tanaman hinggakan kami dapat menyemai sendiri benih-benih pokok seperti cili, durian, mangga dan lain-lain.
"Malah, kita turut membela 15 ekor ayam kampung di reban yang dibina sendiri. Ini juga sebagai salah satu latihan ikhtiar hidup kepada anggota khas 'Must Team' hingga berjaya membina pondok kebun," katanya di sini pada Isnin.
"Hasil tanaman dinikmati bersama selain dapat mengeratkan hubungan sesama anggota yang bertugas berlainan syif. Waktu PKP ini, pergerakan menjadi terbatas, malah anggota perlu sentiasa bersedia di balai.
"Bekalan sayur dan buah mudah diperoleh dengan adanya kebun sendiri. Projek seterusnya ialah membela ikan seperti keli di longkang tepi balai ini bagi bekalan protein pula," katanya.Sementara itu, Shuib berkata, berikutan prosedur operasi standard (SOP) melarang aktiviti sukan secara berkumpulan, beliau merancang menjadikan tapak padang bola sepak sebagai kebun tanaman untuk dikomersialkan.
"Matlamat kami adalah untuk jadikan BBP Seri Manjung sebagai balai agro pelancongan.
"Menuju ke arah itu, kami telah menyediakan taman swafoto kepada pengunjung selain menempatkan galeri dan sudut warisan. Kapal simulasi diwujudkan untuk pendedahan masyarakat setempat bagi mengetahui tugas bomba semasa operasi kecemasan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!