Arah sebenar R&D pertahanan
ILTIZAM Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk memberi lebih banyak tumpuan bagi meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tahun ini menarik perhatian, khususnya bagi melihat bagaimana perkara itu diterjemahkan dalam konteks keperluan negara.
Seperti yang disebutkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, fokus kepada usaha itu adalah pembangunan keupayaan tempatan dalam pembuatan aset dan peralatan.
Malah, beliau turut menggariskan beberapa tumpuan bagi R&D tersebut, antaranya pembangunan sistem pengawasan bawah permukaan untuk pertahanan maritim, radar pertahanan dan fabrik pintar serta pembangunan sistem tanpa pemandu.
Tidak dinafikan penguasaan teknologi dan R&D sebagai elemen penting bagi memperkasa keberkesanan pertahanan, apatah lagi sekiranya sistem persenjataan dimiliki adalah buatan sendiri.
Sasaran Mindef untuk memperkasakan kebolehan R&D bukanlah baharu kerana iltizam serupa turut disuarakan menteri terdahulu, Mohamad Sabu dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) menerusi hasrat mewujudkan industri pertahanan berdikari dan berdaya saing.
KPP juga disebut bakal melonjakkan industri pertahanan sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi negara kerana industri tersebut bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan tetapi juga berupaya meningkatkan keupayaan negara dalam bidang R&D sains teknologi pertahanan.
Perkara serupa juga disuarakan dua Menteri Pertahanan sebelumnya iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu kepentingan mengenai R&D tempatan itu diberikan tumpuan.
Realitinya, kemampuan industri pertahanan negara sangat terhad kepada pemasangan dan penghasilan sebahagian daripada komponen yang dibekalkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuklah menerusi kerjasama luar.
Jika pun dibina dalam negara, kandungan tempatan pada kelengkapan tersebut hanyalah pada bahagian bukan kritikal, manakala komponen utama diimport.
Lantas, timbul persoalan sejauh mana keupayaan negara untuk berdikari sekiranya berlaku sekatan.
Ia termasuklah dalam bidang automotif apabila sebahagian besar kenderaan pengangkut anggota yang dibeli ATM adalah berasaskan daripada kenderaan komersial yang dibina fabrikasi semula.
Faktor kos juga menyebabkan kebanyakan syarikat pertahanan tempatan mempunyai kekangan untuk melaksanakan R&D, selain bimbang menanggung kerugian kerana tiada jaminan produk yang dibangunkan akan dibeli oleh Mindef.
Deftech mengalami perkara itu apabila prototaip kenderaan armor AV4 yang dibangunkan pada 2006 tidak dibeli oleh ATM walaupun teknologinya setanding kenderaan buatan negara barat.
ATM sebaliknya pada tahun 2016 membeli kenderaan hampir serupa buatan Thailand yang kontrak pemasangannya diberikan kepada Deftech.
Matlamat negara untuk membangunkan teknologi pertahanan telah dimulakan pada tahun 1968 apabila menubuhkan Pusat Teknikal Pertahanan (DTC) untuk membantu pihak tentera menyediakan spesifikasi pertahanan bagi tujuan perolehan, menjalankan uji nilai, melakukan pengujian makmal dan membuat penilaian.
DTC ditransformasi dan kini dikenali sebagai Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) iaitu sebuah agensi di bawah Mindef.
STRIDE pada tahun 2007 pernah mempamerkan sistem peluru berpandu diberi nama Taming Sari KX98 semasa perarakan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Keterujaan rakyat untuk mengetahui lebih lanjut tentang sistem senjata canggih buatan tempatan itu lenyap apabila kisah Taming Sari akhirnya senyap.
Sebenarnya, negara tidak kekurangan cerdik pandai termasuk saintis sekiranya hasrat untuk memajukan R&D pertahanan benar-benar dipandang serius seperti diiltizamkan oleh Menteri Pertahanan.
* Zaki Salleh merupakan penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!