Uniknya kek graviti mi segera
BESUT – Kek graviti bertemakan mi segera hasil kreativiti seorang pemuda dari Kampung Darang Buaya, Jerteh di sini mendapat perhatian setelah gambar kek tempahan pelanggannya yang dikongsi menerusi Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official (MATJHN) pada Jumaat.
Wan Ezudin Wan Yusof, 23, berkata, kek itu ditempah khas oleh seorang pelanggan dari Jerteh yang ingin menghadiahkan kek tersebut sempena hari lahir adiknya yang gemarkan mi segera.
“Pada mulanya pelanggan saya hantar gambar mi segera untuk saya dapatkan gambaran dekorasi kek yang ingin ditempah. Selepas itu, saya terfikir untuk cipta sedikit kelainan dengan memasukkan elemen graviti pada kek tersebut.
“Apa yang unik pada kek itu ialah kayu penyepit (chopstick) yang kelihatan seolah-olah terapung. Saya bersyukur kerana pelanggan berpuas hati dengan dekorasi kek ini memandangkan agak jarang tempahan buat kek graviti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Dia berkata, kek graviti mi segera dihasilkan daripada krim segar (fresh cream) yang ditempah seminggu lebih awal itu mengambil masa selama empat jam untuk disiapkan dan dijual pada harga RM190.
Sebelum ini, dia pernah berkongsi gambar kek bertemakan makanan segera yang mendapat lebih 50,000 reaksi di platform media sosial Facebook Masak Apa Hari Ini.
“Setakat ini tempahan bagi kek yang dihasilkan paling murah dijual pada harga RM45 dan paling mahal RM1,000 iaitu kek dua tingkat bertemakan ikan duyung yang ditempah pelanggan tahun lalu.
“Sebenarnya, nilai bagi setiap kek yang dihasilkan bergantung kepada kreativiti seseorang. Semakin rumit dekorasi bagi kek yang ditempah harganya semakin tinggi dan bergantung juga kepada saiz serta bahan-bahan yang digunakan,” katanya lagi.
Wan Ezudin yang terlibat dalam pembuatan kek sejak tiga tahun lalu merupakan usahawan bimbingan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (Ketara) dan kini telah memiliki sebuah bengkel pembuatan kek iaitu Wez's Cake.
Sebelum ini, beliau menuntut di Kolej Vokasional Tanah Merah, Kelantan dalam bidang bakeri dan pastri selama empat tahun selain pernah dijemput sebagai tenaga pengajar untuk kelas kek yang disertai peserta dalam kalangan B40.
Bercerita mengenai perkembangan perniagaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dikuatkuasakan semula di Terengganu, katanya, tempahan masih ada namun agak perlahan.
Katanya, beliau turut menggunakan perkhidmatan 'runner' bagi kek yang ditempah dari kawasan jauh seperti Kuala Terengganu atau Kelantan serta pernah menerima tempahan kek fondant untuk dihantar ke Kuala Lumpur.
“Tempahan masih ada, paling kurang pun saya terima satu tempahan kek dalam sehari.
"Dalam seminggu mungkin ada satu atau dua hari saya tidak dapat tempahan dan waktu itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk berehat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!