Kain rentang desak Zahid undur bukan kerja 'orang dalam'
SHAH ALAM - Pemasangan kain rentang yang mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan yang dikesan di Tanjung Malim, Kuala Kangsar dan Bandar Tun Razak tidak mempunyai kaitan dengan UMNO.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Jalaluddin Alias berkata, beliau percaya perbuatan itu bukan dilakukan 'orang dalam' walaupun ia cuba dikaitkan dengan UMNO di kawasan tersebut.
"Tidak tahu siapa yang lakukan, tapi saya tak fikir ada kaitan dengan UMNO kerana kita tahu tiada gerakan cuba jatuhkan pemimpin tertinggi dalam parti.
"Mungkin ada gerakan oleh pihak-pihak lain... pembangkang barangkali. Tapi saya difahamkan UMNO Bahagian Tanjung Malim dan Bandar Tun Razak sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu.
"Kita berharap siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti pelaku yang cuba melakukan propaganda dan menghuru-harakan bukan sahaja keseluruhan kepimpinan dan ahli UMNO, tetapi juga rakyat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, tersebar di Twitter gambar-gambar kain rentang yang mendesak pengunduran Ahmad Zahid dipasang di tiga lokasi terbabit dan tertera logo serta nama UMNO bahagian berkaitan.
Sementara itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, walaupun berlaku insiden sedemikian, beliau berharap ia tidak melemahkan perpaduan di kalangan pemimpin dan ahli UMNO.
"Mungkin ada pihak-pihak yang tidak senang dengan kita, tapi saya berharap seluruh kepimpinan UMNO di semua peringkat dapat bertenang dan ambil pendekatan untuk terus perkukuhkan parti.
"Mungkin wujud sedikit perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin UMNO tapi ia tidaklah sampai kepada perpecahan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda UMNO nafi pasang kain rentang minta presiden letak jawatan
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khalid Norden enggan mengulas ketika dihubungi berkaitan isu berkenaan.
"Kita tidak tahu siapa letak (kain rentang itu), namun saya berharap pemimpin dan ahli UMNO tidak melakukan tindak balas yang boleh memecahkan parti. Paling penting jangan biarkan parti ini hilang arah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!