Janet Yellen Setiausaha Perbendaharaan wanita AS pertama
WASHINGTON - Janet Yellen disahkan sebagai Setiausaha Perbendaharaan wanita Amerika Syarikat (AS) pertama dalam pemilihan Senat.
Yellen, bekas pengerusi Rizab Persekutuan, dari tahun 2014 hingga 2018, diberi tanggungjawab dan mandat mengemudikan kuasa ekonomi terbesar dunia ketika negara itu berdepan pengangguran besar-besaran dan kejatuhan mendadak pertumbuhan ekonomi, akibat pandemik Covid-19, lapor BBC.
AS ketika ini sedang berjuang untuk memulihkan ekonomi selepas Covid-19 'menyerang' negara itu.
Beliau juga mendesak Kongres untuk mempersetujui bantuan sejumlah trilion untuk menangani wabak dan memacu ekonomi tanpa perlu khuatir mengenai hutang negara.
Wanita berusia 74 tahun tidak asing lagi dalam dunia ekonomi AS dan menekankan rancangan menaikkan cukai mesti dilihat dalam konteks pelaburan yang lebih besar untuk menjadikan ekonomi AS berdaya saing.
"Bagaimanapun katanya, fokus sekarang bukan pada kenaikan cukai tetapi kepada program untuk membantu mengatasi wabak ini," tegasnya.
Beliau memecah tradisi apabila bekas presiden, Barrack Obama memilihnya sebagai Pengerusi Rizab Persekutuan pada tahun 2014, sebelum disingkirkan Presiden Donald Trump, empat tahun kemudian.
Di peringkat Persekutuan, Yellen dilihat cenderung ke arah pengurangan kadar faedah bagi menyokong peluang pekerjaan.
Beliau yang menggantikan Steven Mnuchin kemungkinan besar merungkaikan jalan buntu dalam kalangan Kongres, mengenai kelulusan rang undang-undang rangsangan perbelanjaan baharu untuk ekonomi AS.
Yellen disifatkan ahli ekonomi yang sangat berbakat dengan 'anugerah luar biasa' dan bakal melakar sejarah sebagai Setiausaha Perbendaharaan terhebat pada waktu yang amat penting ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!