Manchester United tak boleh leka
KEDUDUKAN selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini diharap tidak melekakan kesebelasan Manchester United menjelang aksi berdepan kelab tercorot, Sheffield United di Old Trafford, pada awal pagi Khamis.
Justeru, pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer mahu kesebelasan The Red Devils memberikan fokus bagi saingan berdepan The Blades dalam usaha mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu EPL.
Malah menurut Solskjaer, kesemua pemain The Red Devis seharusnya sudah mula memikirkan mengenai perlawanan dengan The Blades itu dan bukannya masih ‘dibuai’ kemenangan menewaskan Liverpool 3-2 dalam saingan Piala FA, awal pagi Isnin lalu.
“Ketika ini suasana dalam bilik persalinan kami sungguh ‘meriah' tetapi sekarang saya mahu melihat bagaimana pemain bersedia untuk menentang Sheffield United. Itulah cabaran utamanya sekarang.
“Kita telah menewaskan Liverpool dan semua orang gembira. Ya, memang seharusnya mereka gembira tetapi mulai hari ini saya mahu lihat semua pemain memikirkan mengenai perlawanan ini (menentang Sheffield United),” katanya.
Pada pertemuan di Bramal Lane 18 Disember lalu, United menewaskan Sheffield United 3-2.
Mengulas mengenai persiapan pasukan, Solskjaer berkata, pihak pengurusan sedang menilai prestasi serta keadaan semasa Marcus Rashford yang dilihat mengalami kecederaan ketika berdepan The Reds.
Katanya, pihak perubatan pasukan akan melakukan imbasan dan diharapkan agar kecederaan berkenaan tidak serius dan bintang England itu dapat beraksi menentang The Blades.
“Rashford mendapat kecederaan lutut ketika beraksi berdepan Liverpool dalam saingan Piala FA lalu dan kita harap ia tidak serius.
“Kita juga sedang menilai prestasi pemain pertahanan, Eric Bailly untuk mengisi slot di benteng pertahanan pasukan namun dalam masa sama Victor (Lindelof) juga sebenarnya dilihat bersedia untuk beraksi." katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!