Kallas wanita pertama jadi PM Estonia
TALLIN - Pemimpin Parti Pembaharuan, Kaja Kallas menjadi wanita pertama dipilih menjadi Perdana Menteri Estonia selepas Parlimen negara itu menyokong pemilihannya dalam satu undian yang berlangsung pada Isnin.
Kallas berusia 43 tahun dan merupakan pemimpin Parti Pembaharuan sejak tahun 2018 adalah anak bekas Perdana Menteri, Siim Kallas.
Beliau dipilih menjadi Perdana Menteri selepas partinya mencapai mencapai satu persetujuan dengan Parti Pusat bagi membentuk kerajaan campuran bagi menggantikan kerajaan sebelum ini yang terlibat dalam skandal rasuah.
Kallas mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Juri Ratas yang turut memimpin Parti Pusat.
Ratas, 42, meletakkan jawatan pada awal bulan ini selepas partinya disiasat kerana satu skandal rasuah.
Siasatan itu berlaku berkaitan dengan sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang penyumbang dana partinya berjaya memperoleh pinjaman kewangan kerajaan yang besar.
Sebuah lagi parti iaitu EKRE turut bertindak meninggalkan kerajaan campuran yang sebelum ini dipimpin oleh Ratas.
Parti pembaharuan pimpinan wanita itu sebelum ini memenangi majoriti dalam pilihan raya Parlimen pada tahun 2019 tetapi tidak mendapat majoriti yang mencukupi dan gagal untuk membentuk sebuah kerajaan campuran.
Kerajaan Kallas kini menguasai 59 kerusi dalam Parlimen Estonia yang mengandungi 101 anggota dan memenangi undi percaya daripada 70 ahli Parlimen selepas mendapat sokongan daripada parti Demokrat Sosial.
Ketika Estonia berjuang membendung penularan Covid-19, Kallas yang berucap di Parlimen berjanji untuk memastikan negaranya dibuka kepada aktiviti ekonomi secepat mungkin selepas perintah lockdown dilaksanakan di beberapa bahagian negara tersebut.
Sehingga kini terdapat lebih 40,000 kes Covid-19 dilaporkan terdapat di negara itu yang mencatatkan 383 kematian. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!