Guna ROV kesan mangsa dari dasar sungai
KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu meneruskan operasi menyelamat menggunakan Remotely Operated Underwater Vehicle (ROV) bagi mengesan lokasi mangsa lemas di dasar sungai.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, penggunaan ROV itu bagi mengesan Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, yang hilang selepas menyelamat lima penumpang Mitsubishi Storm yang terjunam ke dalam sungai Terengganu, di Pulau Warisan, semalam.
Menurutnya, ROV mampu mengesan pada kedalaman 7.3 meter dari permukaan air dan akan digunakan di kawasan sekitar jeti polis marin, malam ini.
"Penggunaan ROV diharap dapat mempercepatkan proses carian mangsa yang kini masih gagal ditemui selepas lebih 24 jam," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Selain itu, beliau berkata, operasi pencarian malam ini yang melibatkan jarak dua kilometer turut menggunakan tujuh buah bot dari pelbagai agensi keselamatan.
"Kita gunakan bot bagi operasi selaman dan pencarian di permukaan dengan melibatkan dua kumpulan anggota.
"Jika mangsa masih gagal ditemui malam ini, operasi akan diteruskan esok dengan bantuan anjing pengesan K9 dari ibu pejabat di Putrajaya," katanya.
Azlmin berkata, operasi malam ini dijangka akan berterusan sehingga jam 1 pagi dan akan disambung semula pada jam 8 pagi esok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!