Pasangan jarak jauh dibenar rentas negeri mulai esok

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mulai Rabu pasangan suami isteri jarak jauh yang berada di lokasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenar merentas negeri untuk pulang berjumpa pasangan masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran itu namun pasangan terbabit perlu mendapat kebenaran polis terlebih dahulu.

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan setuju untuk membenarkan pasangan suami isteri yang berjauhan disebabkan bekerja untuk merentas negeri bertemu keluarga masing-masing dengan syarat mendapat kebenaran dan kelulusan polis.

“Sama seperti yang lain-lain, kalau ada kes kecemasan memang kita benarkan tetapi perlu maklum kepada polis dan dapatkan kebenaran terlebih dahulu,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan PKP di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan menasihatkan mereka yang bergejala sama ada mendapatkan rawatan terlebih dahulu, membuat saringan atau sebaik-baiknya menangguhkan perjalanan sehingga sihat.

Ismail Sabri juga berkata, seramai 482 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP pada Isnin dan daripada jumlah itu, seramai 444 orang dikompaun manakala 38 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan tiada penjarakan fizikal (123), tidak memakai pelitup muka (114), gagal menyediakan peralatan, tidak merekod butiran diri pelanggan (72), rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (120)," katanya.

Bagi Ops Benteng, beliau berkata, tiga pendatang tanpa izin ditahan dan empat kenderaan darat dirampas.

Artikel Berkaitan:

Mengenai ujian saringan pekerja asing, seramai 7,796 orang telah menjalani ujian tersebut dan daripada jumlah itu, 82 disahkan positif Covid-19.

Sejak 24 April tahun lepas pula, katanya, seramai 109,989 individu telah pulang ke tanah air dan mereka telah ditempatkan di 75 hotel serta 14 Institut Latihan Awam (ILA) dan Institut Pengajian Swasta di seluruh negara untuk kuarantin wajib. - Bernama

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan)

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan) [LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Posted by Sinar Harian on Tuesday, January 26, 2021

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!