Dilarang berarak bersama pedati

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan agar tidak berarak bersama pedati yang membawa arca Dewa Murugan sempena perayaan Thaipusam mahupun menjadi penonton di pinggir jalan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis akan berada di kawasan-kawasan dilalui pedati berkenaan bagi memastikan tiada penonton secara beramai-ramai berada di pinggir jalan sepanjang laluan pedati itu.

“Saya harap perkara ini dapat dipatuhi supaya tiada (orang) dikenakan tindakan dan sebagainya dan pedati dapat bergerak dengan lancar,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan PKP di sini pada Selasa.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan perarakan Pedati Perak Kuil Sri Subramaniam Swamy Batu Caves itu dibenarkan namun hanya akan melibatkan 10 peserta tanpa penyertaan orang awam.

ARTIKEL BERKAITAN: Thaipusam: Pergerakan pedati dibenar dengan syarat ketat

Pergerakan pedati sempena Thaipusam perlu patuhi SOP ketat

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, 10 orang yang dibenarkan itu juga ditetapkan perlu berada di dalam kenderaan yang menarik pedati itu untuk sepanjang perjalanan.

Katanya, pedati itu dibenarkan bergerak dari Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam di Jalan Tun HS Lee di sini ke Kuil Sri Subramaniam Swamy Batu Caves pada jam 3 pagi Rabu dan dibawa semula ke Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam waktu yang sama pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

“Kita pilih waktu ini sebab ia bukan waktu sesak dan jalan lengang kerana kita tahu semua aktiviti perniagaan dibenar beroperasi hingga jam 8 malam dan restoran paling lewat jam 10 malam,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, bermula Rabu pasangan suami isteri jarak jauh yang berada di lokasi di bawah PKP dibenar merentas negeri untuk pulang berjumpa pasangan masing-masing.

Katanya, menerusi sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran itu namun pasangan terbabit perlu mendapat kebenaran polis terlebih dahulu.

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan setuju untuk membenarkan pasangan suami isteri yang berjauhan disebabkan bekerja untuk merentas negeri bertemu keluarga masing-masing dengan syarat mendapat kebenaran dan kelulusan polis.

“Sama seperti yang lain-lain, kalau ada kes kecemasan memang kita benarkan tetapi perlu maklum kepada polis dan dapatkan kebenaran terlebih dahulu,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menasihatkan mereka yang bergejala sama ada mendapatkan rawatan terlebih dahulu, membuat saringan atau sebaik-baiknya menangguhkan perjalanan sehingga sihat. - Bernama

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan)

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan) [LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Posted by Sinar Harian on Tuesday, January 26, 2021

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!