Bila bantuan 'one off' nak beri pada pemandu e-hailing?

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan bilakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan memberikan bantuan tunai 'one-off' sebanyak RM500 kepada pemandu e-hailing.

Ini kerana katanya, pendapatan pemandu e-hailing terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, namun dalam masa sama kadar pemotongan komisen sebanyak 20 peratus masih terus dikekalkan.

"Mereka mengeluh, merayu dan berharap komisen 20 peratus diturunkan. Jika tidak kepada 10 peratus, 15 peratus sudah memadai," di laman Facebooknya pada Selasa.

Pada Isnin, Ahmad Zahid menerima dua rakaman video yang memaparkan kesusahan pemandu e-hailing yang terbeban dengan kadar komisen tinggi yang dikenakan kepada golongan terbabit.

Sehubungan itu, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk meminta supaya syarikat e-hailing mengurangkan potongan komisen supaya dapat meringankan pemandu e-hailing.

"Pemandu bersusah payah seawal jam 8 pagi pulang lewat malam demi sesuap nasi. Ada yang meraih pendapatan kasar hanya RM68 sehari, ada dapat RM59. Malah ada cuma beroleh RM24 hingga RM38 sehari.

"Jika komisen dipotong terlalu banyak, apa yang boleh mereka bawa pulang. Harga minyak meningkat RM1.90 seliter. Merayau siang dan malam tidak kurang RM40 petrol dihabiskan," katanya.

Pada 18 Januari, bantuan khas secara 'one off' sebanyak RM500 kepada pemandu teksi, bas dan perkhidmatan pengangkutan e-hailing serta pemandu pelancong diumumkan melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!