Tunggu tindakan jika halang polis buat rondaan
SUBANG JAYA - Jawatankuasa Penduduk (RA) dan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) diseru agar tidak menghalang tugasan pihak polis dalam melakukan rondaan dan tugasan pencegahan jenayah di kawasan kediaman, termasuk bagi kediaman berpagar dan dikawal pasukan keselamatan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya anggota polis tidak dibenarkan melakukan tugasan mereka dan mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menghalang penjawat awam melakukan tugasan.
Menurutnya, sebelum ini terdapat dua kawasan kediaman elit di daerah berkenaan yang tidak membenarkan pasukan kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) melakukan rondaan, tanpa sebarang alasan diberikan.
“Perkara sebegini tidak boleh berlaku dan ia tidak boleh dipandang enteng oleh penduduk demi mengelak apa jua kejadian jenayah daripada berlaku. Tambahan, tugasan rondaan yang dilakukan ini berterusan dan secara berkala selain memantau mana-mana kediaman yang penghuninya tiada di rumah,” katanya kepada pemberita selepas sesi pertemuan dengan penduduk di KRT USJ 9, di sini malam ini.
Risikin berkata, pihaknya akan mengadakan program turun padang bertemu rukun tetangga di lima zon di daerah Subang Jaya setiap malam minggu untuk mendengar keluhan penduduk selain meningkatkan kepercayaan masyarakat setempat terhadap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!