Bukan tak cukup makan, tapi dah terbiasa selongkar sampah
TUMPAT - Wanita yang menjadi tular selepas rakaman video dia dan anak-anaknya menyelongkar tong sampah tersebar di laman sosial tampil menjelaskan perbuatannya itu.
Menurut Noriza Husin, 36, dari Tumpat, dia menyelongkar tong sampah di tepi jalan bukanlah kerana tidak cukup makan, sebaliknya perbuatan tersebut sudah terbiasa dilakukan sejak bertahun lamanya.
Menurutnya, tahun lalu dia menyelongkar tong sampah bagi mencari besi buruk untuk menyara hidup bersama empat anaknya setelah ditinggalkan suami.
Namun kini, katanya, dia tidak menjadikan amalan mengutip bahan terbuang daripada tong sampah sebagai punca utama pendapatan keluarga kerana sudah mendapat bantuan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain bekerja di kedai memproses keropok.
“Kami sudah lama tidak kutip besi buruk dalam tong sampah. Insya-ALLAH duit yang ada ini cukup untuk belanja kami lima beranak namun secara ala kadar.
“Tapi semalam (Isnin) tiba-tiba anak lelaki sulung saya berusia 10 tahun mengajak untuk mencari besi buruk. Mungkin sebab kami sudah lama tak kutip besi buruk, dia rasa teringat nak buat.
“Saya ikutkan saja sebab ini satu-satunya kerja yang kami anak beranak buat untuk sara hidup ketika susah dahulu. Bukan saya tak larang, tapi mereka dah terbiasa dari kecil lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Isnin.
Ahad lalu, tular video di media sosial menunjukkan Noriza bersama anak-anaknya menyelongkar tong sampah di kawasan Perkampungan Belayan Baru, Tumpat.
Perbuatan tersebut mendapat simpati daripada netizen, malah ada juga yang mengutuk.
Pada tahun lalu, media pernah melaporkan Noriza mendukung bayi berusia tiga bulan sambil menyelongkar tong sampah untuk mencari besi buruk, sambil sebelah tangan lagi memimpin anak ketiganya berumur empat tahun dan berjalan sejauh satu kilometer setiap hari.
Bagaimanapun, rutin Noriza sudah berubah setelah bekerja di kedai memproses keropok dan turut dibantu kakaknya, Sarinah Husin, 43, dan juga abang iparnya yang bekerja sebagai buruh.
Noriza berkata, dia kini tinggal menumpang di rumah kakaknya, menjadikan seramai 15 orang tinggal di dalam rumah tersebut.
Ibu cekal itu bagaimanapun berkata, dia tidak marahkan individu yang tularkan perbuatannya itu dan menyifatkan ia mungkin pembuka pintu rezeki kepada mereka 15 beranak.
“Saya nak bergantung sepenuhnya kepada kakak dan abang ipar pun tak boleh juga sebab mereka ada dua anak istimewa dan sekarang berusaha untuk membuat permohonan bantuan dengan JKM.
“Apa yang boleh saya buat sekarang adalah berjimat cermat. Sebab dua anak masih bersekolah dan itupun ada pihak sekolah yang membantu,” katanya.
Menurutnya, kalau dikenangkan kembali kisah hidupnya sebelum ini memang sedih apabila teringat zaman anak sulungnya ke sekolah dengan hanya membawa kertas kosong kerana tidak mampu.
Disebabkan kemiskinan hidup, katanya, ada individu yang mahu membeli kandungannya ketika dia sedang hamil dua bulan.
“Walau apa pun yang berlaku, seburuk mana saya dipandang orang, saya tidak sesekali menjual anak saya. Dengan kudrat yang ada saya tetap besarkan mereka.
“Saya selalu ingatkan anak-anak, walaupun kita susah mereka kena belajar bersungguh-sungguh demi masa depan keluarga dan ingat jasa mereka yang membantu kita selama ini,” katanya.
Sementara itu, nasib keluarga tersebut mendapat perhatian aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society diwakili Che Norhayati Mohamed dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang berkunjung ke rumahnya.
Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun 0300-84110002-3716 (Bank Simpanan Nasional) atas nama Noriza.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!