Kes gangguan seksual, keganasan rumah tangga meningkat di Kelantan

Shafien (tiga dari kiri) bersama Hanif (dua dari kiri) ketika memantau sekatan jalan raya yang dilakukan di Tunjong, Kota Bharu pada Selasa.
Shafien (tiga dari kiri) bersama Hanif (dua dari kiri) ketika memantau sekatan jalan raya yang dilakukan di Tunjong, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Gangguan seksual dan keganasan rumah tangga merupakan antara kes yang mencatatkan jumlah tinggi di negeri Kelantan sepanjang penularan Covid-19 sejak setahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, trend jenayah tersebut didapati tidak sama dengan negeri-negeri lain.

Menurutnya, masalah gangguan seksual pada tahun 2019 menunjukkan 164 kes, manakala ia meningkat kepada 184 kes pada tahun 2020.

Katanya, kes keganasan rumah tangga pula merekodkan sebanyak 519 kes untuk tahun 2019 dan meningkat kepada 523 kes pada tahun lalu.

"Namun begitu, sama ada peningkatan kes ini berkaitan dengan penularan Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat atau sebagainya, ia masih lagi di peringkat kajian," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Terdahulu, beliau hadir membuat pemantauan di sekatan jalan raya (SJR) di Tunjong yang merupakan kerjasama Ops Covid-19 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini.

Hadir sama, Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai kesalahan trafik tertinggi yang dicatatkan sejak awal tahun ini, Shafien berkata, tiga kesalahan utama ialah melibatkan pemandu motosikal yang tidak memakai topi keledar, pelanggaran lampu isyarat dan penggunaan telefon bimbit semasa memandu.

Artikel Berkaitan:

"Sejak 1 Januari lalu, tiga kesalahan yang kerap dilakukan ialah penunggang motosikal tidak memakai topi keledar. Mereka bawa topi tapi disimpan dalam bakul motor. Yang kedua ialah motosikal langgar lampu isyarat. Kedua-dua kesalahan ini merupakan kesalahan yang banyak menyumbang kepada berlakunya kemalangan maut.

"Yang ketiga pula penggunaan telefon bimbit semasa memandu. Kita akan terus berikan pendidikan dan juga mengetatkan penguatkuasaan bagi kesalahan tersebut. Tidak semua lampu isyarat ada kamera litar tertutup dan ini beri kekangan juga kepada kita sebenarnya," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, sasaran pihaknya pada tahun ini ialah untuk mengurangkan kesalahan yang boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

"Kalau semua ini dapat diatasi, jumlah kemalangan jalan raya akan menurun," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!